
KUALA LUMPUR, 25 Ogos – Masjid Sri Sendayan, Negeri Sembilan dinobatkan sebagai “Global Outstanding Mosque of the Year” 2026 pada World Islamic Tourism & Trade Awards (WITA), sekali gus mengiktiraf peranannya sebagai pusat ibadah, ilmu dan komuniti.
- Masjid menyeimbangkan fungsi: 50% aktiviti keagamaan dan 50% program komuniti, termasuk ilmu, kemahiran serta pengukuhan hubungan masyarakat.
- Memperkenalkan pembelajaran kemahiran kontemporari termasuk kecerdasan buatan untuk mempersiapkan masyarakat menghadapi masa hadapan.
- Seni bina terinspirasi era Abbasiyah dan Mamluk; dibina di tepi tasik seluas 10 ekar dengan bahan serta pertukangan dari pelbagai negara.
Anugerah berkenaan disampaikan kepada Pengerusi Ahli Jawatankuasa Masjid Sri Sendayan, Tan Sri Abdul Rashid Hussain, pada majlis di Pusat Dagangan Kuala Lumpur (PWTC), semalam.
Masjid berkapasiti 5,000 jemaah itu menerima pengiktirafan atas keunikan seni bina Islam, pembangunan komuniti, pendidikan agama serta penglibatan pengunjung.
Abdul Rashid berkata, sejak awal pembangunannya, masjid berkenaan dirancang bukan hanya sebagai tempat ibadah, tetapi turut memainkan peranan dalam memperkukuh komuniti.
“Sejak awal, kami mahu Masjid Sri Sendayan berkhidmat untuk agama dan juga komuniti.”
Menurutnya, kira-kira 50 peratus aktiviti masjid berteraskan keagamaan, manakala 50 peratus lagi memberi tumpuan kepada komuniti menerusi program ilmu, kemahiran dan pengukuhan hubungan masyarakat.
“Kami juga percaya bahawa masjid mempunyai peranan dalam mempersiapkan masyarakat untuk menghadapi masa hadapan,” katanya.
Beliau berkata, masjid turut memperkenalkan pembelajaran berkaitan kemahiran dan pengetahuan kontemporari termasuk kecerdasan buatan (AI).
“Masjid seharusnya menjadi tempat di mana iman diperkukuh, ilmu berkembang dan masyarakat bergerak maju bersama-sama,” katanya.

Masjid Sri Sendayan yang dibuka pada 2019 dibangunkan di kawasan seluas 10 ekar di tepian tasik dengan seni bina diinspirasikan era Abbasiyah dan elemen Mamluk.
Pembinaannya mengambil masa empat tahun dengan kepakaran pertukangan serta bahan dari beberapa negara termasuk Itali, Dubai, Portugal, Mesir dan India.
WITA dianjurkan Malaysia Tourism Agency Association (MATA) bersama Jawatankuasa Penganjur WITA dan turut mengiktiraf sumbangan masjid berkenaan dalam mengetengahkan nilai Islam serta pelancongan mesra Muslim di peringkat antarabangsa.