
ROM, 25 Ogos – Dokumentari mengenai perang Israel di Gaza arahan pengarah filem pemenang Oscar “No Other Land” tersenarai ke Festival Filem Venice hanya beberapa hari sebelum pertandingan itu bermula, lapor Agensi Berita Jerman (dpa), memetik penganjur pada Isnin.
- "NAZA" diarahkan oleh Yuval Abraham dan Rachel Szor, sebahagian daripada pasukan empat pengarah No Other Land, mengenai kemusnahan komuniti Palestin di Tebing Barat.
- Filem menggambarkan tindakan ketenteraan Israel di Gaza, dirakam malam dari bumbung Tel Aviv, mendedahkan sistem di sebalik pembunuhan beramai-ramai orang awam, menurut sinopsis festival.
- Istilah "NAZA" ialah akronim ketenteraan yang digunakan secara eufemistik oleh risikan Israel bagi merujuk jumlah orang awam dijangka terbunuh dalam serangan udara.
- Filem diterbitkan oleh The Guardian dan James Wilson; Jonathan Glazer sebagai penerbit eksekutif; No Other Land memenangi anugerah dokumentari dan mencetus kontroversi di Berlin.
“NAZA” diarahkan pembikin filem Israel Yuval Abraham dan Rachel Szor, yang merupakan sebahagian daripada pasukan empat pengarah di sebalik dokumentari “No Other Land” pada 2024, mengenai kemusnahan komuniti Palestin di Tebing Barat.
Filem baharu mengenai tindakan ketenteraan Israel di Gaza itu akan bersaing merebut Golden Lion di Venice. “Dirakam pada waktu malam dari atas bumbung di Tel Aviv, filem ini mendedahkan secara terperinci sistem di sebalik pembunuhan beramai-ramai orang awam Palestin di Gaza yang dirancang Israel,” menurut sinopsis festival itu.
Sepanjang konflik berkenaan, tentera Israel menegaskan bahawa sasarannya hanya pengganas dan pihaknya berusaha mengelakkan kematian orang awam.
Istilah “NAZA” ialah “akronim ketenteraan yang digunakan secara eufemistik oleh risikan Israel bagi merujuk kepada jumlah orang awam yang dijangka terbunuh dalam serangan udara”, menurut akhbar The Guardian.
Filem baharu itu diterbitkan oleh The Guardian dan James Wilson, manakala Pengarah Jonathan Glazer bertindak sebagai penerbit eksekutif. Wilson dan Glazer sebelum ini bekerjasama menerusi “The Zone of Interest”, yang memenangi Oscar bagi Filem Cereka Antarabangsa Terbaik pada 2024.
“No Other Land” memenangi Anugerah Dokumentari untuk Abraham dan Szor di Festival Filem Antarabangsa Berlin 2024 sebelum memenangi Anugerah Akademi bagi Dokumentari Terbaik pada 2025.
Timbul kontroversi pada majlis anugerah di Berlin selepas Abraham menuduh Kerajaan Israel melakukan “apartheid”, yang mencetuskan tuduhan antisemitisme. – BERNAMA-dpa