
BINTULU, 24 Ogos – Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) Zon Maritim Bintulu menahan sebuah bot tunda yang disyaki beroperasi tanpa sauh dalam operasi penguatkuasaan di perairan di sini, Jumaat lalu.
- Pemeriksaan mendapati bot tunda melanggar Seksyen 300 MSO 1952 kerana tiada sauh, kelengkapan keselamatan wajib bagi vesel.
- Bot dan lapan kru (empat warga tempatan, empat warga Indonesia termasuk nakhoda) ditahan dan diiring ke pusat tahanan untuk siasatan.
- Maritim Malaysia tidak berkompromi; penguatkuasaan dipertingkatkan, komuniti diminta patuh peraturan dan lapor kecemasan untuk tindakan segera.
Pengarah Maritim Zon Bintulu, Kepten Maritim Muhammad Suffian Eldine Abdullah, berkata bot tunda itu ditahan kira-kira 4.25 petang di kedudukan sekitar 2.6 batu nautika barat laut Kuala Kemena ketika aset Maritim Malaysia melaksanakan Op PERMAI 01/2019 dan Op TIRIS 4.0.
Beliau berkata hasil pemeriksaan mendapati bot tunda berkenaan disyaki melakukan kesalahan di bawah Seksyen 300 Ordinan Perkapalan Saudagar (Merchant Shipping Ordinance – MSO) 1952 kerana tidak dilengkapi sauh, yang merupakan antara kelengkapan keselamatan wajib bagi sesebuah vesel.
“Pemeriksaan lanjut mendapati bot tunda itu dikendalikan lapan kru, terdiri daripada empat warga tempatan dan empat warga Indonesia, termAsuk seorang nakhoda,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Bot tunda bersama kesemua kru kemudian ditahan dan diiringi ke Pusat Tahanan Vesel Zon Maritim Bintulu sebelum diserahkan kepada Pegawai Penyiasat Maritim Malaysia untuk tindakan lanjut mengikut peruntukan undang-undang.
Muhammad Suffian berkata pematuhan terhadap keperluan keselamatan pelayaran merupakan tanggungjawab setiap pemilik, pengusaha dan pengendali vesel bagi mengurangkan risiko kemalangan serta memastikan keselamatan nyawa di laut sentiasa terpelihara.
“Maritim Malaysia tidak akan berkompromi terhadap mana-mana vesel yang gagal mematuhi peraturan keselamatan dan undang-undang maritim negara. Penguatkuasaan akan terus dipertingkatkan bagi memastikan perairan Malaysia kekal selamat, teratur dan mematuhi piawaian pelayaran yang ditetapkan,” katanya.
Beliau turut menyeru komuniti maritim supaya sentiasa mematuhi peraturan pelayaran serta menyalurkan sebarang maklumat, aduan atau insiden kecemasan di laut melalui talian kecemasan 999, Pusat Operasi Zon Maritim Bintulu di 086-314254 atau Pusat Operasi Maritim Negeri Sarawak di 082-432544 bagi membolehkan tindakan segera diambil.