Hazman pertahan emas, Selangor terus cemerlang dalam tinju

Foto RTM

HULU LANGAT, 23 Ogos – Peninju Selangor, Hazman Iskandar Zulkifli Siew berjaya mempertahankan pingat emas acara tinju lelaki kategori 60 kilogram (kg) pada Sukan Malaysia (SUKMA) XXII Selangor 2026, sekali gus menghadiahkan satu lagi kejayaan buat kontinjen tuan rumah.

RINGKASAN BERITA AI
  • Hazman menewaskan wakil Sabah, Cliff Mijoy, dalam aksi final di Dewan Tun Abdullah Mohd Salleh, Bangi.
  • Hazman tampil lebih tenang dan konsisten, menggunakan pengalaman serta taktikal kemas untuk memastikan kemenangan.
  • Cliff membawa pulang perak, manakala Wilayah Persekutuan meraih gangsa.
  • Jurulatih Low Get Lin puji ketenangan Hazman dan peningkatan prestasi sepanjang empat perlawanan kejohanan.

Dalam aksi final yang berlangsung di Dewan Tun Abdullah Mohd Salleh (DTAMS), Bangi, Hazman menewaskan wakil Sabah, Cliff Mijoy, dalam pertarungan sengit untuk mempertahankan kejuaraan yang dimenanginya pada edisi lalu.

Kedua-dua peninju saling berbalas serangan dalam usaha menguasai setiap pusingan, namun Hazman tampil lebih tenang dan konsisten dengan menggunakan pengalaman serta taktikal yang kemas untuk memastikan kemenangan menjadi miliknya.

Kejayaan itu menyaksikan Cliff membawa pulang pingat perak, manakala Wilayah Persekutuan meraih pingat gangsa.

Kemenangan Hazman cukup bermakna buat kem tinju Selangor apabila beliau berjaya mempertahankan kejuaraan yang dimenanginya pada SUKMA 2024.

“Saya sangat gembira dengan kemenangan ini. Ia satu penghormatan besar buat saya kerana dapat mempertahankan pingat emas SUKMA, lebih-lebih lagi kali ini temasya berlangsung di Selangor.

“Ia satu cabaran yang sangat besar kerana terdapat ramai lawan yang benar-benar kuat dan berkualiti. Namun, hasil perancangan bersama jurulatih, kami berjaya mengatur strategi dan menewaskan mereka,” kata Hazman.

Selangor sebelum itu menunggu selama 24 tahun untuk kembali meraih pingat emas dalam acara tinju, sebelum penantian berkenaan ditamatkan oleh Hazman pada edisi 2024.

Kini, peninju berkenaan sekali lagi membuktikan keupayaannya di pentas SUKMA apabila meraih emas kedua berturut-turut dalam kategori 60kg.

Jurulatihnya, Low Get Lin, turut menyatakan kepuasan terhadap persembahan yang dipamerkan anak buahnya, terutama ketenangan Hazman dalam mengendalikan tekanan ketika aksi final di hadapan penyokong sendiri.

“Sebab sebelum ini dia sudah biasa bertanding dalam tinju profesional. Jadi, gaya permainannya sedikit berbeza. Kami perlu membuat sedikit penyesuaian dalam perlawanan pertama dan kedua.

“Namun, saya fikir dia semakin meningkat sepanjang kejohanan ini. Dia beraksi dalam empat perlawanan dan prestasinya semakin baik, lebih baik dan lebih baik dari satu perlawanan ke satu perlawanan,” katanya.

Bagi Selangor, kejayaan itu bukan sahaja menambah koleksi pingat emas kontinjen tuan rumah, malah menjadi bukti perkembangan positif program pembangunan sukan tinju negeri.

Hazman kini muncul antara tonggak penting skuad tinju Selangor selepas berjaya mengekalkan prestasi cemerlang dan mempertahankan kejuaraan dalam dua edisi SUKMA berturut-turut.

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.