
KUALA TERENGGANU, 23 Ogos – Pengunjung Pasar Payang 2 di sini kini boleh menyemak sendiri ketepatan timbangan barangan yang dibeli menerusi kios timbang kendiri yang disediakan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN).
- Kios timbang kendiri dimasukkan sebagai elemen kawalan kendiri dalam pelaksanaan Pasar Patuh KPDN untuk memastikan ketelusan kuantiti barangan.
- Lebih 200 peniaga di Pasar Payang 2 terlibat dalam inisiatif bagi memupuk amalan perniagaan telus dan cekap.
- KPDN beri pelekat tanda harga kepada peniaga dan jalankan advokasi bersama agensi bagi pematuhan perundangan, kebersihan makanan dan aspek pelancongan.
Kemudahan itu menjadi sebahagian elemen kawalan kendiri di bawah pelaksanaan Pasar Patuh KPDN bagi memastikan ketelusan dari segi kuantiti barangan yang diterima pengguna.
Pengarah KPDN Terengganu, Mohd Mufsi Lat berkata, lebih 200 peniaga di Pasar Payang 2 terlibat dalam inisiatif berkenaan.
“Ini adalah untuk menunjukkan ketelusan. Dalam masa yang sama, kalau ada sebarang penipuan, bila ditimbang dan jumlah kuantiti tidak sama seperti yang dinyatakan, pengguna boleh membuat aduan kepada kita melalui sembilan saluran aduan yang disediakan.
“Jadi semua orang boleh guna, terutama sekali pengunjung,” katanya.
Beliau ditemui pada Majlis Pelancaran dan Advokasi Pasar Patuh KPDN serta Zon Tumpuan Pelancongan Patuh KPDN Terengganu 2026 di Pasar Payang 2, di sini, hari ini.
Jelas Mohd Mufsi lagi, KPDN turut membekalkan pelekat tanda harga kepada semua peniaga bagi memudahkan pengguna mengetahui harga serta item jualan.
Program advokasi itu turut melibatkan Majlis Bandaraya Kuala Terengganu, Suruhanjaya Syarikat Malaysia, Kementerian Kesihatan Malaysia serta Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya.
Antara perkara diberi penekanan ialah pematuhan perundangan, pendaftaran dan pelesenan, keselamatan, kebersihan makanan serta aspek berkaitan industri pelancongan.
Pasar Payang 2, antara lima pasar di Terengganu yang dipilih sebagai Pasar Patuh KPDN tahun ini, bertujuan memastikan peniaga mematuhi peraturan serta mengamalkan amalan perniagaan yang baik, terutama di lokasi tumpuan masyarakat dan pelancong.
Empat lokasi lain termasuk Pasar Binjai di Kemaman, Pasar Besar Dungun, Pasar Bukit Payong dan Pasar Kampung Raja di Besut.
KPDN Terengganu turut melaksana Program Zon Persinggahan Patuh dengan kerjasama PLUS Malaysia Berhad melibatkan hentian serta kawasan Rehat dan Rawat di Kemaman, Dungun dan Hulu Terengganu.