
KUALA LUMPUR, 23 Ogos – Lima tindakan segera akan dilaksanakan bagi mengurangkan risiko banjir di Kuala Lumpur dan Selangor.
- Penyelarasan pengurusan saliran dari Hulu Selangor ke Kuala Lumpur dan kawasan selatan, termasuk mesyuarat teknikal untuk perincian projek, kos dan pelaksanaan.
- Kajian keupayaan Empangan Batu dan Klang Gate bagi menilai keperluan pengurusan air untuk 20 hingga 30 tahun akan datang. <li/Kenal pasti dan bina kolam takungan baharu di kawasan hulu serta naik taraf tiga kolam sedia ada untuk meningkatkan kapasiti.
- JPS Selangor dan JPS Wilayah selaraskan pengorekan sungai, pengurusan kelodak dan pemilihan tapak pembuangan sisa yang sesuai.
Persetujuan itu dicapai Kerajaan Persekutuan menerusi Jabatan Wilayah Persekutuan dan Kerajaan Negeri Selangor.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan), Hannah Yeoh dan Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari menerusi kenyataan bersama memaklumkan, tindakan tersebut meliputi pengurusan tanah, kapasiti takungan, ruang hijau, pembangunan bandar mampan serta pengaliran air.
“Kedua-dua pihak bersetuju menyelaras pengurusan saliran air dari Hulu Selangor yang mengalir melalui Kuala Lumpur hingga ke kawasan selatan.
“Antara tindakan awal ialah mengadakan mesyuarat teknikal dalam tempoh dua minggu bagi memperincikan lokasi, skop projek, anggaran kos, sumber pembiayaan dan kaedah pelaksanaan,” menurut kenyataan itu.
Perincian awal akan disedia sebelum sesi Parlimen akan datang dan pembentangan Belanjawan 2027, manakala mesyuarat berkala diadakan bagi memantau kemajuan pelaksanaan.
Kajian turut akan dijalankan terhadap kapasiti Empangan Batu dan Empangan Klang Gate bagi menilai sama ada kapasiti sedia ada mencukupi untuk keperluan pengurusan air bagi tempoh 20 hingga 30 tahun akan datang.
Agensi teknikal berkaitan juga akan mengenal pasti lokasi sesuai di kawasan hulu sungai bagi pembinaan kolam takungan banjir baharu, termasuk di Selangor.
“Pada masa sama, tiga kolam sedia ada iaitu Kolam Kampung Laksamana, Kolam Sungai Kertas dan kolam di Bukit Lagong akan dikenal pasti untuk dinaik taraf bagi meningkatkan kapasiti takungan.
“Bagi kolam di Bukit Lagong, kawasan itu terletak dalam hutan simpan dan perlu dinyahwartakan sebelum boleh digunakan sebagai kolam takungan,” jelas kenyataan itu lagi.
Selain itu, Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) Selangor bersama JPS Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur akan menyelaras pengenalpastian sungai yang memerlukan kerja pengorekan dan pengeluaran kelodak.
Tapak khas seluas 30 ekar di Selangor juga akan dikenal pasti bagi pembuangan sisa korekan kelodak dengan mengambil kira kesesuaian teknikal, status tanah dan kesan terhadap alam sekitar serta kawasan berhampiran.
Setiap tindakan akan diperincikan mengikut lokasi, agensi pelaksana, anggaran kos, sumber pembiayaan dan tempoh pelaksanaan.