KMJG X JAGO dekati komuniti sempena Bulan Kebangsaan 2026

Datuk Seri Fahmi Fadzil menyantuni orang ramai pada Program Kembara Merdeka Jalur Gemilang (KMJG) 2026 X JAGO 2026 Peringkat Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur dan Putrajaya di Pasar Taman Sri Sentosa hari ini/ Bernama

KUALA LUMPUR, 23 Ogos- Program Kembara Merdeka Jalur Gemilang (KMJG) X Arena Penggerak Komuniti (JAGO) 2026 menjadi antara inisiatif memperkukuh semangat patriotisme dan menyemarakkan budaya mengibarkan Jalur Gemilang dalam kalangan masyarakat setempat.

RINGKASAN BERITA AI
  • Menyemarakkan Kempen 1 Rumah 1 Jalur Gemilang sempena HKHM 2026, menurut Menteri Komunikasi Datuk Seri Fahmi Fadzil.
  • Konvoi melibatkan 10 kenderaan dan 35 peserta daripada agensi kerajaan, mengadakan aktiviti di setiap lokasi persinggahan.
  • Di setiap persinggahan diedarkan Kit 1 Rumah 1 Jalur Gemilang, disertai persembahan kebudayaan, nyanyian patriotik dan kuiz kenegaraan.
  • Penggunaan kenderaan JAGO dengan skrin LED gergasi menayangkan kandungan dan memainkan lagu patriotik sepanjang konvoi.

Menteri Komunikasi, Datuk Seri Fahmi Fadzil berkata program berkenaan turut menyemarakkan Kempen 1 Rumah 1 Jalur Gemilang (1R1JG) sempena sambutan Hari Kebangsaan dan Hari Malaysia 2026 (HKHM 2026).

Beliau berkata konvoi berkenaan melibatkan 10 kenderaan dan 35 peserta daripada agensi kerajaan, selain mengetengahkan pelbagai aktiviti bersama komuniti di setiap lokasi persinggahan.

“Di setiap persinggahan, Kit 1 Rumah 1 Jalur Gemilang akan diedarkan kepada wakil kluster, selain persembahan kebudayaan, nyanyian lagu patriotik, kuiz kenegaraan dan pelbagai aktiviti bersama komuniti,” katanya ketika berucap pada perasmian Program KMJG X JAGO 2026 peringkat Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur dan Putrajaya, di sini hari ini.

Datuk Seri Fahmi berkata program berkenaan dapat mengeratkan hubungan antara pelbagai komuniti, selain menyemarakkan rasa cinta kepada negara sempena Bulan Kebangsaan.

Antara tarikan utama program itu ialah penggunaan kenderaan pelbagai guna JAGO yang dilengkapi skrin LED gergasi bagi menayangkan kandungan dan memainkan lagu patriotik sepanjang perjalanan konvoi.

Program berkenaan turut menyaksikan penyerahan Kit Jalur Gemilang kepada Ketua Komuniti MADANI Taman Seri Sentosa, Mohammad Sarizal Mohd Ali serta pengagihan Jalur Gemilang kepada pengunjung.

Turut hadir Pengarah Jabatan Penerangan Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur dan Putrajaya (JAPEN WPKLP), Normaizatulakmal Tujad serta ketua-ketua Komuniti MADANI WPKLP.

Agensi yang terlibat dalam program itu ialah JAPEN, Polis Diraja Malaysia (PDRM), Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ), Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL), Radio Televisyen Malaysia (RTM), Pertubuhan Berita Nasional Malaysia (Bernama) dan Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM).

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.