- Berusaha memperoleh gambaran jelas supaya kementerian dapat memperbaiki perkara yang ditegur.
- Yakin teguran itu bertujuan baik untuk kebaikan Kementerian Pertahanan dan Angkatan Tentera Malaysia.
- Beliau ditemui selepas Majlis Kesyukuran Barisan Nasional Kota Tinggi.
- Tunku Mahkota Ismail menegur pengurusan MINDEF dan ATM, termasuk perancangan pembangunan melibatkan RGK.

KOTA TINGGI, 23 Ogos – Menteri Pertahanan, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin bakal menghadap Pemangku Sultan Johor, Tunku Mahkota Ismail dalam masa terdekat berhubung teguran ke atas kementerian itu, baru-baru ini.
Menurutnya, pertemuan tersebut bagi mendapatkan gambaran jelas mengenai perkara berkenaan.
“Kita perlu diberikan gambaran jelas dan memang dalam masa terdekat akan menghadap Baginda bagi membolehkan pihak kami memperbaiki keadaan itu,” jelasnya.
Beliau yakin teguran yang disuarakan itu bertujuan baik untuk kebaikan Kementerian Pertahanan (MINDEF) dan Angkatan Tentera Malaysia (ATM).
Datuk Seri Mohamed Khaled ditemui selepas Majlis Kesyukuran Barisan Nasional Kota Tinggi.
Terdahulu, dalam satu majlis Ulang Tahun Regimen Gerak Khas (RGK) ke-61 di Mersing baru-baru ini, Tunku Mahkota Ismail membuat teguran mengenai pengurusan MINDEF dan ATM termasuk perancangan pembangunan melibatkan RGK.