JKM nafi wanita pelarian Myanmar hadir mohon bantuan kewangan

Datuk Che Murad Sayang Ramjan (tengah)/Foto RTM

BANGI, 23 Ogos – Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) menafikan dakwaan yang tular di media sosial berhubung satu keluarga warga asing pelarian Myanmar datang ke Pejabat Kebajikan Masyarakat Daerah (PKMD) Kulai bagi mendapatkan bantuan.

RINGKASAN BERITA AI
  • Wanita hadir ke pejabat atas arahan mahkamah untuk menjalani soal selidik.
  • JKM menasihatkan orang ramai supaya tidak menyebarkan maklumat belum disahkan, elak salah faham dan ketegangan.
  • JKM mengemukakan cadangan kepada Kementerian Kewangan untuk menaikkan bantuan kewangan penjaga pesakit terlantar.
  • JKM memperluas usaha tarik penyertaan anak muda sebagai sukarelawan melalui program RHYTM bersama KPT.

Ketua Pengarah Kebajikan Masyarakat, Datuk Che Murad Sayang Ramjan berkata, wanita berkenaan hadir ke pejabat atas arahan mahkamah.

“Sebenarnya mereka hadir ke pejabat bukan untuk mendapatkan bantuan JKM, sebaliknya diarahkan oleh mahkamah untuk hadir bagi menjalani soal selidik,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui media pada Majlis Perasmian Konvensyen Sukarelawan JKM 2026, di sini.

Sehubungan itu, beliau menasihatkan orang ramai supaya tidak menyebarkan maklumat yang belum disahkan bagi mengelak salah faham dan ketegangan dalam masyarakat.

“Kalau tidak pasti, kita jangan kongsi dan jangan cuba mewujudkan satu situasi yang kurang selesa dalam masyarakat,” katanya.

Dalam perkembangan lain, beliau berkata JKM mengemukakan cadangan kepada Kementerian Kewangan (MOF) supaya kadar bantuan kewangan kepada penjaga pesakit terlantar dinaikkan.

“Kalau sekarang mereka menerima RM500 sebulan untuk penjagaan pesakit terlantar, misalnya dan mereka memohon tambahan. Perkara ini kita cuba bawa kepada kerajaan untuk pertimbangan,” katanya.

JKM menyedari terdapat kekangan peruntukan, namun beliau berharap keperluan golongan kurang bernasib baik terus diberi perhatian.

Sementara itu, beliau berkata JKM juga sedang memperluas usaha menarik penyertaan generasi muda menjadi sukarelawan dengan kerjasama Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT).

“Kita ada satu program yang kita panggil Ritma Kehidupan Harmoni (RHYTM) yang melibatkan pelajar universiti yang mempunyai kemahiran atau pengetahuan dalam bidang terapi untuk turut sama terlibat.

“Dengan cara itu, kita mahu anak-anak muda ini sedar bahawa ada golongan yang memerlukan, sebelum mereka sibuk dengan alam pekerjaan dan tidak mengetahui apa yang berlaku di dunia luar,” katanya.

Tambah beliau usaha itu selari dengan hasrat JKM memperkasa sukarelawan sebagai rakan strategik jabatan dalam penyampaian perkhidmatan kebajikan.

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.