
LONDON, 20 Ogos – Putera Harry dan isterinya, Meghan Markle dilaporkan akan kembali menetap di United Kingdom (UK) selepas enam tahun melepaskan gelaran diraja.
- Pasangan itu merancang meninggalkan AS sebelum hujung bulan untuk menetap di kediaman persendirian dipercayai di luar London.
- Putera Archie dan Puteri Lilibet didaftarkan ke sekolah, dijangka mula sesi awal September.
- Rumah baharu bukan kediaman rasmi keluarga diraja; pasangan itu kekal bukan anggota keluarga diraja yang menjalankan tugas rasmi.
- Raja Charles III diberitahu dan mengalu-alukan masa keluarga, tetapi status rasmi pasangan tidak berubah.
Akhbar Britain, Telegraph melaporkan, pasangan itu merancang meninggalkan Amerika Syarikat (AS) sebelum hujung bulan ini untuk menetap di kediaman persendirian yang dipercayai terletak di luar London.
Beberapa media UK termasuk BBC melaporkan dua anak pasangan itu, Putera Archie, tujuh tahun, dan Puteri Lilibet, lima tahun telah didaftarkan di sebuah sekolah bagi memulakan sesi persekolahan awal September.
Pasangan tersebut dilaporkan sudah memilih kediaman baharu, namun rumah berkenaan bukan antara kediaman rasmi keluarga diraja.
Harry dan Meghan menetap di California sejak melepaskan gelaran diraja pada 2020 dan anak-anak pasangan itu tidak pernah bertemu dengan datuk mereka sejak 2022.
Harry, 41, dan Meghan, 45, meninggalkan Britain untuk berpindah ke Amerika Utara susulan perselisihan dengan keluarga diraja yang semakin tegang selepas Harry menerbitkan memoir kontroversinya, Spare.
Hubungan itu bertambah keruh selepas pasangan berkenaan melakukan temu bual terbuka dengan pengacara rancangan bual bicara Amerika, Oprah Winfrey.
Press Association melaporkan Raja Charles III, 77, telah dimaklumkan pada Ahad mengenai rancangan Duke dan Duchess of Sussex untuk kembali menetap di Britain.
Menurut laporan itu, Raja Charles mengalu-alukan peluang untuk meluangkan lebih banyak masa bersama keluarga secara peribadi, namun status pasangan berkenaan tidak akan berubah.
Harry dan Meghan kekal bukan anggota keluarga diraja yang menjalankan tugas rasmi. – AFP