Trump-Jong un dijangka bertemu semula November depan

Foto AFP

WASHINGTON, 20 Ogos – Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump akan bertemu pemimpin Korea Utara, Kim Jong-un, lewat tahun ini dalam usaha menghidupkan semula hubungan yang didakwa pernah dijalinkan ketika penggal pertama pentadbirannya.

RINGKASAN BERITA AI
  • Trump berkata penting menjalin hubungan baik dengan Kim Jong-un.
  • Beliau mendakwa Pyongyang kini memiliki 57 senjata nuklear yang amat berkuasa.
  • Pengurangan latihan ketenteraan bersama AS dan Korea Selatan membimbangkan sekutu Asia.
  • Wall Street Journal lapor Trump pertimbang pertemuan dengan Jong-un semasa lawatan APEC ke Shenzhen November.

Trump berkata, adalah penting untuk menjalinkan hubungan baik dengan Jong-un, sambil mendakwa Pyongyang kini memiliki 57 senjata nuklear yang sangat berkuasa.

Namun, tumpuan mengejut Trump terhadap Jong-un serta pengurangan latihan ketenteraan bersama AS-Korea Selatan membimbangkan sekutu Asia.

Sekali gus, mencetuskan spekulasi bahawa Trump sedang mencari kejayaan dasar luar yang lain, ketika perang dengan Iran berdepan kebuntuan.

Ketika ditanya sama ada beliau merancang bertemu Jong-un pada 2026, Trump menjawab “Ya, saya akan berbuat demikian.”

Beliau turut mempertahankan rancangan pertemuan itu, meskipun ketika ini melancarkan perang terhadap Iran yang antara lain didakwa bertujuan menghalang Tehran daripada membangunkan senjata nuklear.

“Beliau (Jong-un) ada 57 senjata nuklear yang amat berkuasa dan tidak sepatutnya berlaku.

“Jika saya adalah Presiden pada masa lalu, saya tidak akan membenarkan perkaran itu berlaku, ” tegas Trump.

“Bagaimanapun, saya mempunyai hubungan baik dengan Jong-un. Dan, saya tidak boleh membenarkan Iran mempunyai senjata nuklear. Tetapi dengan status hubungan terkini (dengan Jong-un), kita yakin semuanya akan baik-baik sahaja,” tambah beliau.

Trump tidak memberikan butiran lanjut, namun Wall Street Journal melaporkan beliau sedang mempertimbangkan pertemuan dengan Jong-un ketika melakukan lawatan ke Shenzhen, China bagi menghadiri sidang kemuncak Kerjasama Ekonomi Asia-Pasifik (APEC) pada November depan. – AFP

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.