Trump ugut kenakan ‘hukuman’ lebih berat kepada negara bantu Iran

Foto AFP

WASHINGTON, 20 Ogos – Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump akan melancarkan kempen baharu secara besar-besaran yang menyasarkan ekonomi Iran, selain mengancam mengenakan tindakan lebih berat terhadap mana-mana negara yang membantu atau menjalankan urus niaga dengan republik Islam itu.

RINGKASAN BERITA AI
  • Tekanan ekonomi dipertingkatkan ketika perang menghampiri bulan keenam, tanpa tanda penyelesaian diplomatik atau ketenteraan.
  • Trump umum "OPERASI EKONOMI PALING BERAT" di Truth Social, menyifatkan ia peperangan dan pengasingan ekonomi tanpa preseden.
  • Trump mengugut negara yang menyediakan talian hayat kewangan atau perkhidmatan lain kepada Iran akan berdepan akibat ekonomi luar biasa.
  • Tidak ada perincian hukuman atau negara terlibat; Setiausaha Perbendaharaan janji pengasingan ekonomi pada tahap belum pernah disaksikan.

Tekanan ekonomi dipertingkatkan ketika perang menghampiri bulan keenam, tanpa sebarang petanda segera ke arah penyelesaian diplomatik atau ketenteraan.

Trump turut berdepan tekanan politik domestik yang hebat menjelang pilihan raya pertengahan penggal AS pada November depan.

“Hari ini, saya mengumumkan OPERASI EKONOMI PALING BERAT YANG PERNAH DILAKSANAKAN TERHADAP MANA-MANA ​​NEGARA! Ini akan menjadi Peperangan dan Pengasingan Ekonomi pada skala yang belum pernah terjadi sebelumnya,” tulis Trump di Truth Social.

“Saya juga mengumumkan bahawa MANA-MANA ​​negara yang membenarkan institusi kewangan, perniagaan, lapangan terbang atau entiti kerajaannya menyediakan sebarang jenis talian hayat kepada Iran akan berdepan akibat ekonomi yang LUAR BIASA,” katanya.

Trump bagaimanapun tidak memperincikan hukuman yang akan dikenakan mahupun menyatakan nama negara yang terlibat selain Iran.

Kenyataan itu dikeluarkan beliau hampir seminggu selepas Setiausaha Perbendaharaan AS, Scott Bessent memaklumkan, negara ‘Uncle Sam’ itu akan mengenakan pengasingan ekonomi ke atas Iran pada tahap yang belum pernah disaksikan dunia.

Walaupun serangan peluru berpandu baru-baru ini reda, Tehran masih mengenakan sekatan berterusan terhadap laluan perkapalan melalui Selat Hormuz, selepas perjanjian awal AS-Iran untuk membuka semula laluan penting itu, gagal.

Dalam beberapa hari kebelakangan ini, kedua-dua pihak dilaporkan masih bertukar mesej, namun Trump pada Selasa menegaskan rundingan telah dihentikan.

Trump turut memuat naik mesej di media sosial yang membayangkan Selat Hormuz boleh menjadi “wilayah baharu AS.” – AFP

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.