Hutang AS cecah rekod baharu lepasi AS$40 trilion

Foto AFP

WASHINGTON, 20 Ogos – Hutang negara kasar Amerika Syarikat (AS) melepasi paras AS$40 trilion buat kali pertama, menurut data kerajaan yang dikeluarkan pada Rabu.

RINGKASAN BERITA AI
  • Kenaikan hutang lebih pantas daripada jangkaan, sebahagiannya disebabkan tarif Presiden Donald Trump yang kemudian dibatalkan.
  • Komitmen jangka panjang seperti keselamatan sosial dan penjagaan kesihatan, serta populasi penuaan, menambah tekanan defisit dan kos faedah.
  • Hasil bon jangka panjang naik ke paras tertinggi sejak 2007 akibat perang di Asia Barat dan kebimbangan defisit; Jabatan Perbendaharaan campur tangan menstabilkan pasaran.
  • Pakar berkata defisit semakin tidak mampan; defisit tahunan kira-kira AS$2 trilion dan nisbah defisit KDNK meningkat kepada 6 hingga 7 peratus.

Peningkatan hutang itu lebih pantas daripada jangkaan awal, sebahagiannya didorong oleh pelaksanaan tarif Presiden Donald Trump yang kemudiannya terbatal.

Peningkatan pinjaman berlaku ketika komitmen jangka panjang AS berkaitan keselamatan sosial dan penjagaan kesihatan terus bertambah, selain bayaran faedah yang turut melonjak.

Menurut Jabatan Perbendaharaan AS, jumlah hutang awam terkumpul mencecah AS$40.05 trilion pada penutupan urus niaga Selasa.

Angka itu jauh mengatasi unjuran awal Pejabat Belanjawan Kongres (CBO) yang menjangkakan jumlah pinjaman mencapai AS$39.4 trilion menjelang akhir tahun fiskal 2026.

Peningkatan hutang tertunggak AS berlaku ketika kebimbangan terhadap inflasi, perang di Asia Barat dan perbelanjaan kerajaan terus menjejaskan keyakinan pelabur, sekali gus meningkatkan kos pinjaman.

Hasil bon Perbendaharaan AS jangka panjang meningkat pada Selasa ke paras tertinggi sejak 2007, mencerminkan tekanan harga susulan perang terhadap Iran serta kebimbangan mengenai defisit fiskal AS.

Keadaan itu memaksa kerajaan AS membiayai semula hutang pada kadar faedah tertinggi sejak sebelum krisis kewangan global 2008.

Bagaimanapun, Jabatan Perbendaharaan AS mengambil langkah menstabilkan pasaran bon jangka panjang pada awal Rabu, menyebabkan hasil bon kembali berkurangan.

Kerajaan persekutuan AS beroperasi dalam keadaan defisit dan perlu membuat pinjaman bagi menampung komitmen, termasuk perbelanjaan perang serta pemotongan cukai.

“Kerajaan AS telah lama berada di landasan yang tidak mampan berikutan defisit yang semakin besar, ” kata Jessica Riedl, felo belanjawan dan cukai di Brookings Institution.

“Dalam beberapa tahun kebelakangan ini, AS mencatat defisit kira-kira AS$2 trilion, walaupun dalam keadaan aman dan ekonomi berkembang.

“Jika sebelum ini defisit antara tiga hingga empat peratus daripada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) sudah membimbangkan pasaran kewangan, kini paras itu meningkat kepada sekitar enam hingga tujuh peratus, ” katanya lagi.

Menurut Riedl, keadaan tersebut, meningkatkan kebimbangan dalam kalangan pelabur.

Inflasi yang mendorong kenaikan kadar faedah turut meningkatkan kos pembayaran faedah hutang, manakala peningkatan kos berkaitan populasi yang semakin berusia terus menambah defisit kerajaan.

Para penganalisis berpandangan, tiada paras nisbah hutang kepada KDNK yang secara automatik akan mencetuskan krisis.

Walaupun jumlah hutang kasar melepasi paras simbolik tertentu, ramai pakar ekonomi menganggap hutang yang dipegang oleh orang awam sebagai ukuran yang lebih bermakna dari segi ekonomi.

Namun, Riedl berkata, paras pencapaian seperti itu secara psikologi menjadi isyarat kepada pasaran kewangan supaya menilai semula peningkatan hutang kerajaan. – AFP

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.