
DHAKA, 20 Ogos – Parlimen Bangladesh dijangka memilih presiden baharu pada Khamis dengan calon parti pemerintah, Mirza Fakhrul Islam Alamgir disebut-sebut bakal memegang jawatan itu.
- Mirza Fakhrul Islam Alamgir, 78, Setiausaha Agung Parti Nasionalis Bangladesh dan Menteri Kerajaan Tempatan.
- Alamgir berkata pencalonan tidak disangka; beliau menganggapnya hasil sokongan parti dan rahmat Allah.
- Parti BNP pimpinan Perdana Menteri Tarique Rahman menang besar pada pilihan raya Februari, pilihan raya pertama selepas revolusi 2024.
- Sheikh Hasina kekal bersembunyi di India, enggan hadir perbicaraan dan dijatuhi hukuman gantung November lalu.
Alamgir, 78, yang merupakan Setiausaha Agung Parti Nasionalis Bangladesh (BNP) dijangka akan memenangi undian tersebut, dan memegang jawatan presiden untuk tempoh penggal lima tahun, sekali gus menjadi Presiden Bangladesh ke-23.
“Saya tidak pernah menyangka akan menjadi presiden, dan menyifatkan pencalonan itu sebagai hasil sokongan parti serta rahmat Allah, ” katan Alamgir, yang juga Menteri Kerajaan Tempatan kepada media pada Selasa, menurut agensi berita BSS.
“Walaupun selepas menjadi presiden, saya berharap dapat kekal bersama-sama rakyat dan berkhidmat untuk mereka,” tambahnya lagi.
Parti BNP pimpinan Perdana Menteri, Tarique Rahman menang besar pada pilihan raya umum yang diadakan Februari lepas, pilihan raya pertama sejak revolusi menggulingkan kerajaan Sheikh Hasina pada 2024.
Pengundian itu diadakan susulan peletakan jawatan presiden terdahulu, Mohammed Shahabuddin, 76, pada Julai lepas, yang juga sekutu rapat Hasina yang berdepan tekanan agar berundur.
Dikenali secara meluas sebagai “Chuppu”, Mohammed dilantik pada 2023 dan meletak jawatan atas faktor kesihatan, sekali gus memendekkan penggal pemerintahannya yang sepatutnya tamat pada 2028.
Hasina kekal bersembunyi di India, dan enggan menghadiri perbicaraan di Dhaka, selepas beliau didapati bersalah atas pertuduhan melakukan jenayah kemanusiaan dan dijatuhi hukuman gantung sampai mati pada November lepas.
Kumpulan hak asasi manusia telah lama mengkritik pentadbiran Hasina kerana menyalahgunakan kuasa termasuk membunuh pesaingnya, mengenakan tekanan kepada parti pembangkang, mempengaruhi sistem kehakiman serta mengadakan pilihan raya yang berat sebelah.
Alamgir berdepan seorang lagi calon, Oli Ahmed, yang dicalonkan pakatan pembangkang yang menggabungkan 11 parti, diketuai Jamaat-e-Islami.
Pengundian dijangka bermula kira-kira 2 petang waktu tempatan (0800 GMT). – AFP