Nur Elisha, Nurul Farisha berjaya pertahankan pingat emas buat Sarawak

Foto RTM

SHAH ALAM, 19 Ogos Gandingan Nur Elisha Ranja Muhammad Abrar Raj-Nurul Farisya Alia Effendi berjaya mempertahan pingat emas buat Sarawak menerusi acara 10 meter (m) platform seirama wanita Sukan Malaysia (Sukma) 2026, di Pusat Akuatik Darul Ehsan, hari ini.

RINGKASAN BERITA AI
  • Berlatih secara berasingan; Nur Elisha bersama pasukan kebangsaan, Nurul Farisya berlatih di Sarawak, namun tetap serasi.
  • Mendapat 259.74 mata, jauh mengatasi pasangan Perak yang memperoleh 216.18 mata.
  • Enam gandingan bertanding; pingat gangsa dimenangi pasangan Pahang dengan 215.94 mata.

Nur Elisha berkata, bukan mudah untuk mempertahankan pingat tersebut kerana beliau dan pasangan terpaksa menjalani latihan secara berasingan sebelum perlawanan.

“Kami berasa bangga kerana berjaya mempertahankan pingat emas. Ia bukan sesuatu yang mudah kerana kami terpaksa berlatih secara berasingan. Saya menjalani latihan bersama pasukan kebangsaan, manakala Nurul Farisya pula menjalani latihan di Sarawak.

Masa untuk kami berlatih bersama amat terhad, tetapi kami tetap mempunyai keserasian yang baik sehingga berjaya mempertahankan pingat emas buat Sarawak,” katanya ketika ditemui media selepas Majlis Penyampaian Pingat, di sini.

Gandingan itu berjaya meraih 259.74 mata, jauh meninggalkan pesaingnya, Trisya Ann Voon-Siti Nurul Jannah Malik dari Perak dengan jumlah 216.18 mata.

Manakala pingat gangsa pula dimiliki gandingan Nur Aisy’ Innara Mohd Amir Hafiz-Noor Qaisara Dayana Saiful Nazam dari Pahang yang mengutip 215.94 mata.

Seramai enam gandingan mengambil bahagian dalam acara itu pada hari ini.

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.