
TEHRAN, 19 Ogos – Angkatan bersenjata Iran memberi amaran kepada negara-negara Teluk supaya tidak membantu tentera Amerika Syarikat (AS).
- Sebarang bantuan kepada tentera AS dianggap penyertaan dalam operasi ketenteraan Washington.
- Iran sedar kehadiran sejumlah besar pesawat ketenteraan, terutama pesawat pengisian bahan api, di pangkalan serantau.
- Amaran disuarakan ketika kapal pengangkut pesawat USS George Washington dikerah semula ke Asia Barat menggantikan USS Abraham Lincoln.
Sebarang bantuan dianggap sebagai tindakan menyertai operasi ketenteraan Washington.
“Kami ingin memberi amaran bahawa sebarang bantuan atau kemudahan yang diberikan kepada tentera AS yang melakukan pencerobohan adalah sama dengan penyertaan dalam operasi ketenteraan AS,” kata Ketua Staf Angkatan Bersenjata Iran, Ali Abdollahi yang dipetik agensi berita Mehr.
Beliau turut mempersoalkan negara yang tidak mengetahui keberadaan sejumlah besar pesawat tentera, khususnya pesawat pengisian bahan api di pangkalan serantau.
“Negara-negara yang bersempadan dengan Teluk Parsi, yang telah mengeluarkan pelbagai kenyataan bahawa mereka tidak akan membenarkan AS menggunakan wilayah mereka untuk menyerang Iran, perlu mengetahui bahawa kami menyedari sepenuhnya keadaan ini,” kata Abdollahi.
Amaran itu dibuat ketika kapal pengangkut pesawat USS George Washington dikerah semula ke rantau Asia Barat bagi menggantikan USS Abraham Lincoln.
Perang antara Iran dengan AS tercetus pada 28 Februari selepas serangan AS-Israel terhadap Republik Islam itu, yang menyaksikan Tehran bertindak balas dengan melancarkan serangan peluru berpandu dan dron, serta menyasarkan pangkalan AS di seluruh rantau berkenaan. -AFP