Indonesia rampas 2.6 tan meth cecair dari kapal Tanzania

Seramai 10 kru kapal warga Myanmar ditahan

JAKARTA, 19 Ogos – Pihak berkuasa Indonesia merampas 2.6 tan methamphetamine cecair yang disembunyikan di dalam sebuah kapal yang mengibarkan bendera Tanzania dalam salah satu rampasan dadah terbesar negara itu.

RINGKASAN BERITA AI
  • BNN, berdasarkan risikan, bersama kastam menahan dan memintas kapal MV Rain Maker berhampiran Bengkalis, Riau.
  • Pemeriksaan menemui methamphetamine cecair disorok dalam lapan tong air dan sebuah tangki air; anjing pengesan jumpa lebih 1.5 juta batang rokok seludup.
  • Sepuluh kru, semuanya warga Myanmar, ditahan; ini kes kedua serupa bulan ini dan menggambarkan penguatkuasaan undang-undang antidadah tegas Indonesia.

Badan Narkotik Nasional Indonesia (BNN) dalam satu kenyataan memaklumkan pihaknya menerima maklumat risikan bahawa sebuah kapal yang belayar di Laut Andaman mungkin membawa bahan narkotik ke Indonesia.

Agensi itu dalam operasi bersama pegawai kastam memintas kapal MV Rain Maker – yang menggunakan nama palsu – pada lewat Isnin berhampiran Bengkalis di wilayah Riau.

“Hasil pemeriksaan di atas kapal menemukan 2.6 tan methamphetamine atau meth cecair yang disimpan dalam lapan tong air dan sebuah tangki air,” kata pegawai agensi antinarkotik, Roy Hardi Siahaan.

Anjing pengesan turut menemukan lebih 1.5 juta batang rokok seludup di atas kapal berkenaan, menurut agensi itu.

Seramai 10 kru kapal ditahan, kesemuanya warga Myanmar.

Tahun lalu, pihak berkuasa Indonesia mengumumkan rampasan dadah terbesar dalam sejarah negara itu selepas merampas dua tan methamphetamine kristal yang disembunyikan di dalam sebuah bot nelayan dari Laut Andaman menuju Pulau Batam.

Rampasan pada Isnin itu merupakan kes kedua membabitkan kapal yang mengibarkan bendera Tanzania yang dipintas di kawasan berkenaan bulan ini.

Pada 8 Ogos, pihak berkuasa Indonesia merampas 1.3 tan ketamin daripada sebuah kapal yang belayar di perairan sekitar Kepulauan Riau berhampiran Singapura.

Lapan kru kapal berkenaan yang terdiri daripada tujuh warga Myanmar dan seorang warga Taiwan ditahan.

Indonesia menguatkuasakan antara undang-undang antidadah paling tegas di dunia, termasuk mengenakan hukuman mati bagi pengedar dadah, namun mengekalkan moratorium terhadap pelaksanaan hukuman mati selama beberapa tahun. -AFP

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.