
BANGKOK, 19 Ogos – Juara tujuh kali Thailand berdepan detik cemas sebelum mengesahkan slot ke final Piala ASEAN 2026 apabila mara dengan agregat 4-3, meskipun tewas 1-2 kepada Singapura pada aksi separuh akhir kedua di Stadium Rajamangala di sini, malam tadi.
- Thailand merehatkan beberapa pemain utama dan terpaksa bertahan selepas Singapura melancarkan siri serangan awal.
- Penjaga gol Kampon Phatomakkul tampil cemerlang dengan beberapa penyelamatan penting pada peringkat awal perlawanan.
- Harhys Stewart memecah kebuntuan masa kecederaan babak pertama selepas memanfaatkan clearance kurang kemas Kampon.
- Kakana masuk dan menyempurnakan penalti minit ke-60; hantaran Ryhan Stewart terkena Pansa menyebabkan gol sendiri.
Berbekalkan kemenangan 3-1 pada aksi pertama di Stadium Jalan Besar, Sabtu lepas, skuad Gajah Perang kendalian Anthony Hudson yang merehatkan beberapa pemain utama terpaksa bertahan sejak awal permainan apabila The Lions melancarkan beberapa siri serangan.
Singapura mencipta beberapa peluang berbahaya pada peringkat awal, namun penjaga gol Thailand, Kampon Phatomakkul, tampil cemerlang dengan melakukan beberapa aksi menyelamat untuk memastikan gawangnya tidak dibolosi.
Singapura akhirnya memecah kebuntuan pada masa kecederaan babak pertama apabila Kampon gagal mengeluarkan bola dengan kemas di luar kawasan penalti, sekali gus memberi peluang kepada Harhys Stewart untuk melambungkan bola ke gawang yang terbuka.
Thailand tampil lebih agresif selepas rehat selepas memasukkan pemain tengah berpengaruh, Kakana Khamyok, serta penyerang Yotsakon Burapha.
Pertukaran itu membuahkan hasil apabila Wanchai Jarunongkran dijatuhkan di dalam kawasan penalti, menyebabkan pengadil dari Korea Selatan, Kim Woo-sung, menghadiahkan sepakan penalti pada minit ke-60.
Kakana tenang menyempurnakan sepakan penalti menerusi rembatan kaki kanan ke penjuru atas kanan gawang untuk kembali memberikan Thailand kelebihan secara agregat.
Namun, Singapura kembali mendahului pada minit ke-65 apabila hantaran lintang Ryhan Stewart terkena pertahanan tengah Thailand, Pansa Hemviboon, sebelum bola menerjah gawang sendiri.
The Lions terus mengasak bagi mendapatkan satu lagi gol yang mampu menyamakan kedudukan agregat, namun pertahanan Thailand kekal kental untuk memastikan kemenangan agregat 4-3, sekali gus menempah tiket ke final.
Thailand akan berdepan pemenang satu lagi aksi separuh akhir antara Malaysia dan Vietnam pada final yang turut berlangsung secara timbal balik. – BERNAMA