
PUTRAJAYA, 18 Ogos– Pelan komprehensif bagi menambah baik kawalan keselamatan di pintu masuk negara akan dibentangkan kepada Jemaah Menteri esok.
- Pelan merangkumi penyelarasan pelbagai agensi bagi kawalan pintu masuk supaya tidak dilaksanakan secara berasingan.
- Melibatkan keperluan infrastruktur termasuk pemasangan CCTV, mesin pengimbas dan latihan kepada petugas pengendali.
- Dirangka susulan beberapa insiden keselamatan, termasuk penahanan juruterbang Malaysia di Indonesia berkaitan dadah.
- Pendekatan menggabungkan kepakaran KDN, Kementerian Pengangkutan dan agensi berkaitan untuk kenal pasti kelemahan menyeluruh.
Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata, pelan itu akan dibentangkan bersama Menteri Pengangkutan, Anthony Loke Siew Fook, selepas disiapkan dalam tempoh dua minggu seperti diarahkan kerajaan.
Beliau berkata, pelan berkenaan merangkumi penyelarasan pelbagai agensi berkaitan bagi memastikan kawalan di pintu masuk negara tidak lagi dilaksanakan secara berasingan.
“Insya-Allah, esok saya akan membentangkannya bersama, Menteri Pengangkutan, (Anthony Loke) kerana pelan komprehensif ini turut merangkumi elemen di bawah bidang kuasa Kementerian Pengangkutan.
Kita mahu melihat aspek yang boleh ditambah baik, termasuk dari segi keperluan infrastruktur, pemasangan kamera litar tertutup (CCTV), mesin pengimbas serta latihan kepada petugas yang mengendalikan dan mengawasi mesin pengimbas. Semua aspek ini akan kita teliti,” katanya ketika berucap pada Perhimpunan Bulanan Kementerian Dalam Negeri di sini, hari ini.
Tambahnya, langkah itu dirangka susulan kebimbangan kerajaan terhadap beberapa insiden keselamatan membabitkan pintu masuk negara, termasuk kes penahanan seorang juruterbang Malaysia di Indonesia membabitkan dadah dirampas di Lapangan Terbang Antarabangsa Soekarno-Hatta, baru-baru ini.
Pelan berkenaan juga dibuat dengan menggabungkan kepakaran dan pengalaman pelbagai agensi di bawah Kementerian Dalam Negeri, Kementerian Pengangkutan serta agensi berkaitan.
Jelasnya, pendekatan itu penting bagi mengenal pasti kelemahan secara menyeluruh dan memastikan insiden yang boleh menjejaskan imej negara tidak berulang.
Mengulas mengenai penahanan juruterbang terbabit, Datuk Seri Saifuddin memaklumkan, Polis Diraja Malaysia turut mendapat kerjasama baik daripada pihak berkuasa Indonesia dalam siasatan kes berkenaan.
Katanya, keterangan suspek yang diperoleh pihak berkuasa akan membantu siasatan, termasuk menentukan sama ada kes berkenaan mempunyai kaitan dengan rangkaian sindiket antarabangsa atau dilakukan secara bersendirian.
Maklumat itu juga penting bagi mengenal pasti sebarang kelemahan dalam kawalan di pintu keluar dan masuk negara.
Terdahulu, media melaporkan seorang juruterbang warga Malaysia ditahan pihak berkuasa Indonesia bulan lalu, selepas disyaki membawa kira-kira 25 kilogram dadah ke negara berkenaan.