RCI TH: Pasukan petugas pelbagai agensi perkukuh pengawasan, tadbir urus

Foto arkib / RTM

KUALA LUMPUR, 18 Ogos – Penubuhan pasukan petugas pelbagai agensi bagi menyiasat pelaburan bermasalah Lembaga Tabung Haji (TH) mampu memperkukuh mekanisme pengawasan dan tadbir urus institusi itu.

RINGKASAN BERITA AI
  • Jawatankuasa audit, risiko dan pelaburan perlu dipimpin pihak bebas, kompeten dan berani mencabar keputusan.
  • Jawatankuasa tidak boleh melepaskan tanggungjawab dalam isu salah laku atau tadbir urus.
  • Pemerkasaan agensi sedia ada atau pasukan pelbagai agensi boleh menjadi pemangkin pengukuhan institusi jika pelaksanaan cekap, berkesan, telus.
  • Kerajaan akan meneliti cadangan itu sebagai usaha menambah baik pengawasan dan mengelakkan kelemahan berulang.

Penganalisis korporat dan perniagaan, Mohamad Faisal Abdul Malik berkata, kewujudan pasukan itu dapat mewujudkan sistem pengawasan yang lebih dinamik dan menyeluruh, selain memperkukuh elemen semak dan imbang terhadap struktur operasi sedia ada.

“Pada masa sama, jawatankuasa audit, risiko dan pelaburan TH pula perlu dipimpin oleh pihak yang bebas, kompeten dan berani mencabar keputusan, bukannya sekadar mengesahkan keputusan yang telah dibuat.

”Contohnya, dalam konteks isu salah laku atau tadbir urus, jawatankuasa juga tidak boleh melepaskan tanggungjawab masing-masing,” katanya.

Tambahnya, penubuhan pasukan pelbagai agensi atau pemerkasaan agensi sedia ada boleh menjadi pemangkin kepada pengukuhan institusi, sekiranya disokong dengan pelaksanaan tugas yang cekap, berkesan dan telus.

Menteri Kewangan II, Datuk Seri Amir Hamzah Azizan sebelum ini menyatakan, kerajaan akan mempertimbangkan cadangan penubuhan pasukan petugas pelbagai agensi bagi memperkukuh siasatan dan tindakan susulan terhadap isu yang dibangkitkan dalam Laporan Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) TH.

Ketika menggulung perbahasan pada Mesyuarat Khas Dewan Rakyat 11 Ogos lalu, beliau berkata kerajaan terbuka meneliti cadangan itu sebagai sebahagian usaha menambah baik pengawasan serta mengelakkan kelemahan sama berulang.

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.