
KUALA LUMPUR, 18 Ogos – Pemansuhan Akta Universiti dan Kolej Universiti 1971 (AUKU) dijangka memberi ruang lebih luas kepada mahasiswa untuk bersuara, terlibat dalam aktiviti kampus serta membincangkan isu politik dan semasa.
- Kebebasan perlu disertai tanggungjawab termasuk pemahaman asas kenegaraan, Rukun Negara dan identiti nasional.
- Elakkan pembunuhan karakter dan debat yang sekadar mencari masalah tanpa membawa perubahan nilai politik.
- Mahasiswa mesti kawal kendiri dan peka keselamatan agar kebebasan disalur untuk pembangunan serta masa depan negara.
- Pemansuhan AUKU perlu disokong dengan tadbir urus universiti lebih baik, autonomi akademik dan mekanisme kebebasan bertanggungjawab.
Pakar Perang Saraf dan Penganalisis Keselamatan dan Politik Universiti Teknologi MARA (UiTM), Dr Noor Nirwandy Mat Noordin berkata, kebebasan itu bagaimanapun perlu disertai tanggungjawab, khususnya dalam memahami asas kenegaraan, Rukun Negara dan identiti nasional.
“Sekiranya mereka tertakluk pada isu-isu yang berhubung dalam perdebatan, perkara berhubung dengan pembunuhan karakter, perkara yang hanya bertempuh pada isu mencari permasalahan,
maka ia tidak akan membawa kepada perubahan-perubahan sistem nilai politik negara,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada RTM selepas menjadi tetamu program bual bicara Selamat Pagi Malaysia, di sini, hari ini.
Beliau menegaskan mahasiswa perlu mempunyai kawalan kendiri dan kesedaran keselamatan bagi memastikan kebebasan yang dinikmati digunakan untuk menyumbang kepada pembangunan serta masa depan negara.
Dalam pada itu, mahasiswa juga perlu memahami batas kebebasan bersuara bagi mengelakkan isu sensitif berkaitan kaum, agama dan institusi diraja dieksploitasi sehingga menjejaskan keselamatan serta kestabilan negara.
Susulan itu, pemansuhan AUKU dilihat sebagai sebahagian daripada proses reformasi pendidikan tinggi yang perlu disokong dengan tadbir urus universiti lebih baik, autonomi akademik serta mekanisme yang menjamin kebebasan mahasiswa secara bertanggungjawab.