
SUBANG JAYA, 17 Ogos- Penembak Perak, Nazirul Iqbal Roszaini menebus kekecewaan meraih gangsa dua tahun lepas, apabila berjaya menggondol pingat emas acara 10 meter (m) air rifle lelaki pada Sukan Malaysia (SUKMA) 2026, hari ini.
- Catatan 245.9 mata memperbaharui rekod temasya 242.5 mata milik Haritz Iklil pada 2022.
- Rizki Razain raih perak dengan 240.2 mata manakala Muhd Iman bawa gangsa 218.6 mata.
- Beliau berlatih empat hingga lima jam sehari, banyak melakukan latihan keras dan percaya kemampuan sendiri.
- Sertai skuad kebangsaan sejak Februari 2025, meningkatkan keyakinan dan mensasarkan tiga lagi emas dalam acara lain.
Lebih manis, catatan 245.9 mata yang diraih atlet berusia 18 tahun itu di Lapang Sasar Menembak Kebangsaan Subang turut menyaksikan beliau memperbaharu rekod temasya 242.5 mata milik Haritz Iklil Hessly Hafiz yang dicipta pada edisi 2022 di Kuala Lumpur.
Pingat perak menjadi milik atlet Sarawak, Rizki Razain Mohammad Isti Syahran yang mengumpul 240.2 mata, manakala wakil Pahang, Muhd Iman Syahmi Mohd Azidi membawa pulang gangsa dengan 218.6 mata.
“Saya memang sasarkan emas pada edisi kali ini berdasarkan prestasi semasa latihan. Saya pernah mencapai 249 mata dan saya yakin dengan hasil latihan yang dilakukan, saya mampu mencatat rekod kebangsaan.
“Saya berlatih antara empat hingga lima jam sehari, bergantung pada keadaan diri. Saya banyak melakukan latihan keras dan percaya dengan kemampuan sendiri,” katanya.
Mengulas kejayaannya hari ini, atlet kelahiran Ipoh itu berkata pengalaman menyertai skuad kebangsaan sejak Februari 2025 turut meningkatkan keyakinannya untuk membaiki pencapaian gangsa pada edisi lepas.
“Saya turun pada edisi kali ini dengan lebih yakin untuk dapat emas kerana berada pada tahap yang lebih tinggi sebab sudah menyertai pasukan kebangsaan,” katanya.
Nazirul Iqbal berkata beliau berharap kejayaannya itu tidak terhenti hanya pada acara berkenaan, sebaliknya menyasarkan tambahan tiga lagi emas dalam acara tiga posisi, prone dan campuran. – BERNAMA