
PUTRAJAYA, 12 Oktober – Keputusan penutupan sekolah susulan jerebu akan dibuat berdasarkan prosedur operasi standard (SOP), dengan mengambil kira tahap kualiti udara serta nasihat agensi berkaitan.
- KPM menyelaraskan tindakan berdasarkan garis panduan sedia ada untuk melindungi kesihatan murid tanpa menjejaskan pembelajaran.
- NRES akan menilai Indeks Pencemaran Udara sementara KKM memberi nasihat berkaitan risiko kesihatan.
- Ibu bapa dinasihatkan tidak menghantar anak jika mengalami masalah kesihatan semasa jerebu dan memaklumkan pihak sekolah.
- Ibu bapa diminta mendapatkan maklumat terkini daripada PPD dan JPN; keputusan operasi sekolah bergantung penilaian bersama agensi dan keadaan semasa.
Menteri Pendidikan, Datuk Seri Fadhlina Sidek berkata, Kementerian Pendidikan (KPM) akan terus menyelaras tindakan berdasarkan garis panduan sedia ada dan perkembangan semasa, khususnya bagi melindungi kesihatan murid tanpa menjejaskan kelangsungan pembelajaran.
“Penilaian Indeks Pencemaran Udara (IPU) akan dibuat oleh Kementerian Sumber Asli dan Kelestarian Alam (NRES), manakala Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) akan memberikan nasihat berkaitan risiko kesihatan.
“Bukan KPM sahaja yang membuat keputusan. Panduan dan pedoman itu kita ambil daripada NRES dan juga KKM. Keputusan dibuat secara bersama setelah mempertimbangkan semua keadaan,” katanya selepas merasmikan Majlis Perasmian PETAH KPM 2026 Peringkat Kebangsaan di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC), hari ini.
Dalam pada itu, Fadhlina menasihatkan ibu bapa supaya tidak menghantar anak ke sekolah sekiranya mereka mengalami masalah kesihatan ketika jerebu, selain memaklumkan keadaan itu kepada pihak sekolah.
Ibu bapa juga diminta mendapatkan maklumat terkini daripada Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) dan Jabatan Pendidikan Negeri (JPN) bagi memastikan pematuhan terhadap sebarang arahan berkaitan operasi sekolah.
Mengulas kemungkinan jerebu berlarutan sehingga November atau Disember, beliau berkata, sebarang keputusan akan terus bergantung pada penilaian bersama agensi berkaitan dan keadaan semasa.