FinTech, memperkasa pengurusan kewangan isi rumah

Imej janaan AI/Penulis

SAUDARA PENGARANG

RINGKASAN BERITA AI
  • FinTech memudahkan urusan kewangan isi rumah, membolehkan pemantauan transaksi masa nyata dan pengurusan perbelanjaan lebih teratur.
  • Fungsi automasi seperti pindahan simpanan dan bayaran bil menggalakkan disiplin kewangan serta pembentukan tabiat menyimpan.
  • Kemudahan pembayaran pantas dan perkhidmatan beli sekarang bayar kemudian boleh mendorong pembelian impulsif dan komitmen kewangan bertindih.
  • Peningkatan risiko penipuan menuntut literasi kewangan digital supaya pengguna dapat mengenal pasti taktik penipuan dan melindungi data peribadi.

Hari ini, hanya beberapa sentuhan pada telefon pintar diperlukan untuk membayar bil, memindahkan wang, membuat simpanan, membeli barangan malah melabur.

Teknologi kewangan (FinTech) ialah istilah yang merujuk kepada aplikasi mudah alih, perisian dan teknologi lain yang membolehkan pengguna mengakses dan mengurus kewangan mereka secara digital.

Oleh hal demikian, teknologi kewangan telah menjadikan urusan kewangan isi rumah lebih pantas dan mudah.

Transformasi kewangan digital di Malaysia semakin pesat, sejajar dengan peningkatan penggunaan kaedah pembayaran elektronik dalam kalangan masyarakat.

Data Bank Negara Malaysia menunjukkan bahawa bilangan transaksi pembayaran elektronik per kapita meningkat dengan ketara daripada 170 transaksi pada tahun 2020 kepada 538 transaksi pada tahun 2025, iaitu lebih tiga kali ganda dalam tempoh lima tahun.

Penggunaan kad debit juga meningkat daripada 15.3 kepada 70.5 transaksi per kapita, sementara transaksi melalui perbankan mudah alih bertambah daripada 17.8 kepada 47.7 transaksi per kapita. Sebaliknya, penggunaan cek semakin berkurangan daripada 1.8 kepada hanya 0.9 transaksi per kapita.

Corak ini mencerminkan perubahan tingkah laku kewangan masyarakat yang semakin beralih daripada kaedah pembayaran konvensional kepada platform kewangan digital.

Namun, di sebalik keterujaan menikmati kemudahan kewangan digital, timbul persoalan penting, adakah kita sekadar celik teknologi, atau benar-benar mampu mengurus kewangan digital secara bijak dan selamat?

Teknologi Membantu Pengurusan Kewangan Isi Rumah

Teknologi kewangan kini bukan sekadar memudahkan urusan pembayaran, malah boleh menjadi alat penting dalam membantu isi rumah mengurus kewangan dengan lebih teratur.

Melalui aplikasi perbankan mudah alih, e-dompet dan aplikasi pengurusan kewangan, pengguna boleh memantau transaksi hampir secara masa nyata serta mengenal pasti corak perbelanjaan mereka.

Trend Pembayaran Elektronik di Malaysia (2020-2025)/Penulis

Perbelanjaan kecil yang dilakukan setiap hari sering kali tidak disedari. RM10 atau RM20 untuk makanan, minuman, penghantaran atau pembelian dalam talian mungkin kelihatan sedikit, tetapi apabila dikumpulkan sepanjang sebulan, jumlahnya boleh mencecah ratusan ringgit. Di sinilah teknologi kewangan boleh membantu pengguna melihat ke mana wang mereka sebenarnya dibelanjakan.

Teknologi kewangan juga boleh membantu isi rumah membina disiplin kewangan yang lebih baik. Pembayaran bil secara automatik, misalnya, dapat mengurangkan risiko terlepas tarikh pembayaran.

Manakala pemindahan automatik ke akaun simpanan membantu membudayakan prinsip “simpan dahulu, belanja kemudian” tanpa perlu menunggu baki selepas berbelanja.

Pada masa yang sama, kemudahan digital membolehkan pengguna menetapkan dan memantau matlamat kewangan seperti dana kecemasan, pendidikan anak, pembelian rumah dan persaraan.

Dengan pemantauan yang lebih teratur, pengguna dapat menilai kemajuan simpanan dan membuat penyesuaian apabila corak perbelanjaan mula melebihi kemampuan.

Dalam erti kata lain, teknologi kewangan seharusnya membantu kita mengawal wang dengan lebih baik, bukan sekadar memudahkan kita membelanjakannya.

Mudah Membayar Tidak Bermaksud Mampu Membeli

Di sebalik kemudahan kewangan digital, terdapat cabaran yang tidak boleh dipandang ringan. Apabila proses pembayaran menjadi semakin mudah dan pantas, pengguna boleh menjadi kurang peka terhadap jumlah sebenar yang dibelanjakan.

Hanya dengan beberapa sentuhan pada skrin, pembelian barangan, tempahan makanan dan pelbagai transaksi boleh dilakukan dalam sekelip mata.

Kemudahan seperti Buy Now, Pay Later (BNPL) atau beli sekarang, bayar kemudian pula membolehkan pengguna mendapatkan barangan dengan segera dan membuat bayaran secara ansuran.

Jika digunakan secara berhemah, kemudahan ini boleh membantu mengurus aliran tunai. Namun, tanpa kawalan, ia juga boleh mendorong pembelian impulsif dan menambah komitmen kewangan yang bertindih.

Justeru, penting untuk membezakan antara “mampu membayar” dan “mampu membeli”. Sebelum membuat pembelian, pertimbangkan sama ada ia benar-benar perlu, berada dalam bajet dan tidak menjejaskan simpanan serta komitmen lain.

Kemudahan pembayaran seharusnya membantu kita mengurus kewangan dengan lebih baik, bukan mendorong perbelanjaan melebihi kemampuan. Teknologi boleh memudahkan urusan kewangan, tetapi disiplin tetap menjadi kunci.

Kemudahan Kewangan Digital, Risiko Penipuan

Peningkatan penggunaan kewangan digital turut membawa risiko keselamatan. Penipu kini banyak menggunakan kejuruteraan sosial, seperti panggilan, mesej atau pautan palsu yang menyamar sebagai pihak bank, pihak berkuasa, syarikat penghantaran atau platform e-dagang. Tawaran pelaburan palsu dengan janji pulangan tinggi juga semakin menjadi taktik untuk memperdaya mangsa.

Menurut laporan Bank Negara Malaysia (BNM), berdasarkan data Polis Diraja Malaysia (PDRM), lebih 95 peratus kes penipuan dalam talian di Malaysia melibatkan transaksi dengan kebenaran (authorised fraud), apabila mangsa diperdaya untuk memindahkan wang kepada penipu.

Situasi ini menunjukkan bahawa kecanggihan sistem keselamatan sahaja tidak mencukupi; pengguna juga perlu mempunyai literasi kewangan digital untuk mengenal pasti taktik penipuan sebelum membuat transaksi.

Literasi Kewangan Digital Benteng Penipuan

Dalam era kewangan digital, literasi kewangan bukan lagi sekadar tahu mengurus pendapatan, perbelanjaan, simpanan, hutang dan pelaburan. Pengguna juga perlu bijak menggunakan perkhidmatan kewangan digital supaya transaksi yang dibuat adalah selamat.

Literasi kewangan digital bermaksud bukan sekadar tahu menggunakan aplikasi bank atau membuat pindahan wang, tetapi juga mampu mengenal pasti risiko dan taktik penipuan. Maklumat seperti kata laluan, PIN, TAC dan OTP tidak boleh dikongsi sewenang-wenangnya.

Penutup

Teknologi kewangan sememangnya membawa banyak kemudahan kepada isi rumah, daripada memantau perbelanjaan dan membina simpanan hingga membuat pembayaran dengan lebih pantas. Namun, kemudahan itu perlu disertai disiplin dan kewaspadaan.

Seiring perkembangan perkhidmatan kewangan berasaskan teknologi, literasi kewangan digital menjadi benteng penting agar teknologi benar-benar membantu kita mengurus wang dengan lebih baik, bukan membuka ruang kepada pembaziran atau penipuan.

Akhirnya, setiap klik, pindahan dan keputusan kewangan berada di tangan kita. Gunakan teknologi untuk memperkukuh kewangan keluarga, bukan membiarkan kemudahan digital melemahkan kawalan terhadap wang sendiri.

Artikel ini merupakan pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mewakili pandangan mahu pun pendirian rasmi RTM.


Dr Fatin Syazwani Safiyuddin
Pensyarah Kanan (Kewangan)
Fakulti Perniagaan & Komunikasi
Universiti Malaysia Perlis
E-mel: syazwanisafiyuddin@unimap.edu.my


Dr Hafizah Abdul Rahim
Pensyarah Kanan (Ekonomi)
Fakulti Perniagaan & Komunikasi
Universiti Malaysia Perlis

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.