Kedaulatan AI: Visi Malaysia beralih daripada pengguna kepada pencipta teknologi

Imej janaan AI/Penulis

SAUDARA PENGARANG

RINGKASAN BERITA AI
  • Kedaulatan AI bermakna Malaysia membina kapasiti, bakat dan infrastruktur sendiri supaya tidak bergantung kepada pihak luar dalam perkara strategik teknologi.
  • Data adalah aset strategik; penguasaan dan keselamatan data perlu diperkukuh untuk melindungi privasi, keselamatan dan kedaulatan negara.
  • Pembangunan AI mesti berpandukan etika, ketelusan dan tadbir urus, agar teknologi menyokong kemanusiaan, inklusiviti dan kemajuan negara.

Baru-baru ini, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dalam ucaptama sempena lawatan rasmi bagi memperkukuh hubungan Malaysia-Jepun telah menyentuh tentang hubungan antara manusia dan mesin dalam era kecerdasan buatan (AI).

Perdana Menteri menekankan kepentingan AI dan teknologi dalam meningkatkan ekonomi negara pada masa hadapan selain menarik minat pelabur sektor tersebut ke dalam pasaran pelaburan di Malaysia.

Salah satu perkara menarik dalam ucapan Perdana Menteri ialah penegasan bahawa Malaysia tidak boleh lagi menjadi sekadar pengguna teknologi, sebaliknya perlu muncul sebagai pencipta, pembina, pereka dan pembangun teknologi, khususnya dalam bidang AI.

Apabila negara mempunyai keupayaan untuk mencipta, membina, mereka bentuk dan membangunkan teknologi sendiri, Malaysia bukan sahaja memperoleh manfaat ekonomi, malah mempunyai autonomi yang lebih besar terhadap keselamatan data, pembangunan model AI, infrastruktur digital serta pematuhan terhadap peraturan dan nilai yang ingin diterapkan.

Keseluruhan keupayaan ini berkait rapat dengan satu konsep yang semakin penting dalam landskap teknologi global, iaitu Kedaulatan AI.

Memahami Konsep Kedaulatan AI dan Negara AI 2030

Kedaulatan AI merujuk kepada keupayaan sesebuah negara atau organisasi untuk mempunyai kawalan dan keupayaan strategik terhadap teknologi AI yang digunakan, termasuk aspek infrastruktur, data, model AI, pengkomputeran, keselamatan serta pengoperasiannya.

Dalam konteks negara, Kedaulatan AI bukanlah bermakna Malaysia perlu membina segala-galanya sendiri atau menolak teknologi dan pelaburan asing sepenuhnya.

Sebaliknya, ia bermaksud Malaysia mempunyai keupayaan, pengetahuan, bakat dan infrastruktur sendiri supaya tidak terlalu bergantung kepada pihak luar dalam perkara-perkara strategik melibatkan teknologi AI.

Perkara ini amat penting kerana AI bukan hanya satu teknologi untuk menghasilkan kandungan, menganalisis data atau membantu manusia melaksanakan tugasan harian.

AI semakin menjadi sebahagian daripada infrastruktur ekonomi, keselamatan, pendidikan, kesihatan, pentadbiran kerajaan dan membantu pembuatan keputusan.

Aspirasi ini selari dengan hasrat menjadikan Malaysia sebagai AI Nation 2030 atau Negara AI iaitu sebuah negara yang bukan sahaja mengadaptasi AI tetapi turut membangunkan ekosistem AI berdaya saing di peringkat global.

Langkah ini amat penting kerana negara yang menguasai teknologi AI pada hari ini bakal menjadi peneraju ekonomi digital dunia pada masa hadapan.

Dan, apabila teknologi AI menjadi semakin penting dalam kehidupan harian rakyat dan pengoperasian negara, persoalan siapa yang mengawal data, model, infrastruktur dan sistem tersebut tidak boleh dipandang ringan.

Satu lagi persoalan yang jauh lebih penting adalah bagaimana pembangunan AI dapat memperkukuh ketamadunan manusia dan bukannya menghakis nilai kemanusiaan dalam era serba moden dan canggih.

Oleh itu, aspek Kedaulatan AI bukan hanya diukur melalui jumlah aplikasi AI yang digunakan atau pelaburan teknologi yang diterima tetapi merujuk kepada keupayaan sesebuah negara menguasai pembangunan AI mengikut acuan, keperluan, kehendak dan kepentingannya sendiri.

Bagi mencapai Negara AI 2030, Malaysia sedang mempergiat usaha membina keupayaan menghasilkan teknologi tempatan, memperkukuh penyelidikan, melahirkan bakat berkemahiran tinggi serta membangunkan model AI yang memahami bahasa, budaya dan keperluan masyarakat negara ini.

Dengan cara ini, Malaysia tidak lagi hanya menjadi pasaran kepada teknologi luar tetapi mampu menjadi penyumbang kepada inovasi global.

Selain itu, penguasaan terhadap data juga menjadi elemen penting dalam kedaulatan AI. Data kini dianggap sebagai aset strategik negara.

Jika data rakyat, industri dan kerajaan bergantung sepenuhnya kepada platform luar, negara berisiko kehilangan kelebihan strategik serta berhadapan isu keselamatan dan privasi.

Oleh itu, pembangunan AI perlu disokong oleh ekosistem data yang selamat, dasar yang jelas serta kepakaran tempatan agar manfaatnya dapat dinikmati secara mampan.

Dalam semangat Malaysia MADANI, pembangunan AI perlu memberi manfaat kepada seluruh rakyat secara inklusif, mengurangkan jurang digital dan meningkatkan kesejahteraan masyarakat tanpa mengabaikan nilai kemanusiaan.

Kemajuan AI Tidak Boleh Menghakis Nilai-nilai Kemanusiaan

AI semakin pintar. Ia mampu menghasilkan laporan dalam beberapa saat, menganalisis jutaan data dan membantu membuat ramalan yang kompleks.

Namun, sehebat mana pun AI berkembang, ia tetap tidak mempunyai empati, belas ihsan dan pertimbangan moral seperti manusia.

Cabaran terbesar ketamadunan hari ini bukanlah AI menjadi terlalu pintar, tetapi manusia menjadi semakin bergantung kepada teknologi sehingga hubungan sesama manusia semakin renggang.

Fenomena seperti “hilangnya ihsan kemanusiaan” atau “hilangnya empati” mula timbul dalam kalangan masyarakat apabila interaksi manusia digantikan dengan mesin dan sebarang keputusan pula dibuat sepenuhnya bersandarkan kepada algoritma.

Lebih memburukkan keadaan apabila masyarakat pada hari ini semakin terdedah kepada kandungan yang dijana AI seperti imej, video dan suara palsu atau palsu tulen (deepfake) yang sukar dibezakan daripada kandungan sebenar.

Jika tidak dikawal dengan baik, teknologi ini boleh disalahgunakan untuk menyebarkan fitnah, penipuan dan manipulasi maklumat. Oleh sebab itu, kemajuan AI perlu diseimbangkan dengan pembentukan masyarakat yang celik digital, berfikiran kritis dan mempunyai nilai integriti yang tinggi.

Teknologi sepatutnya membantu manusia menjadi lebih produktif dan sejahtera, bukannya menyebabkan nilai hormat, ihsan dan tanggungjawab semakin terhakis.

Ini kerana, tamadun yang maju bukan hanya diukur melalui kecanggihan teknologinya, tetapi juga melalui kekuatan nilai yang dimiliki oleh masyarakatnya.

Dengan demikian, pembangunan AI menurut kerangka tempatan, mempunyai kawalan dan tadbir urus yang jelas kerana kecenderungan AI disalahgunakan untuk menghasilkan maklumat palsu, melakukan penipuan digital, menceroboh privasi atau mewujudkan keputusan yang berat sebelah akibat bias dalam data.

Justeru, pembangunan AI dalam konteks Malaysia disertai dengan prinsip ketelusan, akauntabiliti dan etika.

Inisiatif seperti Garis Panduan Tadbir Urus dan Etika Kecerdasan Buatan Negara (AIGE) dan Malaysia MADANI Artificial Intelligence (MMAI) menunjukkan komitmen negara untuk memastikan AI dibangunkan secara bertanggungjawab, selamat dan memberi manfaat kepada masyarakat.

Teknologi tidak boleh berkembang tanpa panduan nilai kerana AI akhirnya hanyalah alat dan manusia sendiri yang menentukan bagaimana alat tersebut digunakan untuk impak positif kepada semua.

Dalam masa yang sama, kerjasama antara kerajaan, industri, institusi penyelidikan dan masyarakat sentiasa diperkukuhkan bagi membentuk ekosistem AI yang mampan.

Tadbir urus yang baik bukan bertujuan menyekat inovasi, sebaliknya memastikan setiap inovasi yang dihasilkan memberi manfaat kepada rakyat, melindungi hak pengguna dan menyumbang kepada pembangunan negara secara menyeluruh.

Sebagai pengguna, pembangun mahupun pembuat dasar, setiap daripada kita mempunyai tanggungjawab untuk memastikan AI digunakan bagi meningkatkan kesejahteraan manusia, bukan sebaliknya.

Kesimpulannya, AI bukan ancaman kepada ketamadunan manusia jika dibangunkan dengan nilai yang betul. AI boleh menjadi pemangkin kepada kemajuan negara sekiranya pembangunan teknologi sentiasa dipandu oleh etika, integriti dan rasa tanggungjawab.

Akhirnya, kedaulatan AI bukanlah tentang siapa memiliki mesin yang paling canggih tetapi siapa yang paling bijak menggunakan teknologi untuk membina masyarakat yang lebih berilmu, berdaya saing dan berperikemanusiaan.

Teknologi akan terus berkembang tetapi nilai kemanusiaan mesti sentiasa menjadi kompas yang menentukan hala tuju pembangunan negara.

Hanya dengan keseimbangan antara inovasi dan nilai, Malaysia mampu muncul sebagai sebuah AI Nation yang bukan sahaja maju dari sudut teknologi, malah dihormati kerana menjadikan AI sebagai pemangkin kepada pembinaan tamadun yang lestari, beretika dan selari dengan aspirasi Malaysia MADANI.

Artikel ini merupakan pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mewakili pandangan mahu pun pendirian rasmi RTM.


Prof. Madya Dr. Mazni Omar
Pensyarah Kanan
Pusat Pengajian Pengkomputeran
Universiti Utara Malaysia
E-mel: mazni@uum.edu.my

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.