
SAUDARA PENGARANG
- Penjawat awam sebagai pemain utama memastikan setiap janji belanjawan sampai kepada kumpulan sasaran.
- Komunikasi strategik perlu jelaskan syarat, saluran dan manfaat kepada penduduk luar bandar, warga emas, OKU dan golongan kurang celik digital.
- Laksanakan inisiatif segera melalui perancangan awal, jadual pelaksanaan dan pengurangan karenah birokrasi yang tidak perlu.
- Pelihara integriti, ketelusan dan pemantauan berterusan untuk elak ketirisan, salah guna kuasa serta menilai impak melalui petunjuk prestasi jelas.
Belanjawan 2027 yang dibentangkan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dengan tema ‘Menggapai di Langit, Mengakar di Bumi’ membawa satu mesej yang sangat jelas iaitu hasil reformasi yang dilaksana selama ini perlu diterjemah kepada manfaat lebih nyata untuk rakyat.
Justeru, untuk merealisasikan hasrat murni Kerajaan MADANI tersebut; peruntukan sebanyak RM459.8 bilion disediakan.
Ia khususnya bertujuan untuk menterjemah pertumbuhan ekonomi yang berdaya tahan kepada manfaat nyata untuk rakyat di peringkat akar umbi melalui gaji yang lebih baik, sokongan bersasar yang lebih cekap, disiplin fiskal yang lebih kukuh dan langkah agresif ke arah industri bernilai lebih tinggi.
Ironinya, kejayaan Belanjawan 2027 hanya akan dilihat pada sejauh mana setiap dasar dan inisiatif yang diumumkan itu dapat dilaksanakan dan dipastikan ianya menemui kumpulan sasaran yang ditetapkan.
Ini juga selari dengan ungkapan Datuk Seri Anwar, ukuran belanjawan bukan pada tebalnya dokumen, besarnya peruntukan atau banyaknya pengumuman.
Sebaliknya adakah lebih ramai rakyat dapat hidup dengan bermaruah dan apakah Malaysia yang kita serahkan kelak kepada generasi seterusnya lebih adil daripada Malaysia yang kita warisi.
Maka persoalan utama ialah, siapa yang akan memastikan setiap janji dan peruntukan itu benar-benar sampai kepada mereka yang memerlukannya?
Dalam konteks ini penjawat awam dilihat sebagai ‘pemain utama’ yang bertanggungjawab dalam merealisasikan segala yang telah dimumkan.
Hal ini kerana penjawat awam di setiap agensi kerajaan tanpa mengira gred dan jawatan menjadi nadi dan jambatan yang sentiasa berperanan sebagai pelaksana dasar dan penghubung antara kerajaan dengan rakyat.
Justeru, penjawat awam perlu memikul beberapa tanggungjawab utama bagi membantu menjayakan agenda dan misi besar belanjawan kali ini.
Antaranya ialah, penjawat awam di setiap kementerian dan agensi, khususnya Unit Komunikasi Korporat (UKK) perlu segera menerangkan kepada rakyat setiap inisiatif yang diumumkan.
Ini terutamanya supaya kumpulan sasaran sedar dan tahu akan hak, peluang dan manfaat yang bakal mereka peroleh.
Pada fasa awal ini komunikasi strategik antara agensi dengan rakyat penting kerana maklumat lanjut sesuatu inisiatif seperti syarat kelayakan, kaedah permohonan atau saluran untuk mendapatkan penjelasan dapat disampaikan dalam bahasa yang mudah difahami.
Ia juga boleh disalurkan melalui saluran yang sesuai dengan kumpulan sasaran, termasuk penduduk luar bandar, warga emas, OKU dan mereka yang kurang mahir menggunakan teknologi digital.
Misalnya, rakyat perlu dimaklumkan dengan jelas tentang kelayakan, jumlah bantuan, tempoh penggunaan dan peluasan pembelian barangan basah serta segar menggunakan bantuan Sumbangan Asas Rahmah (SARA) di 216 pasar tani atau tamu di bawah FAMA.
Seterusnya, penjawat awam juga memikul tanggungjawab untuk melaksanakan setiap inisiatif yang diumumkan dengan segera dan mengikut tempoh yang ditetapkan.
Walaupun peruntukan hanya boleh digunakan mulai 2027, namun perancangan, pelan tindakan serta jadual dan kaedah pelaksanaan sesuatu inisiatif itu sudah boleh diteliti dan disediakan dari sekarang.
Ini akan membolehkan setiap inisiatif dapat dilaksanakan dengan segera sejurus peruntukan diperolehi pada tahun hadapan, sekali gus memudahkan rakyat mendapat manfaat dengan cepat.
Tuntasnya, pengumuman cadangan belanjawan perlu diterjemahkan kepada tindakan, bukannya terhenti pada peringkat perancangan, mesyuarat atau penyediaan garis panduan.
Kementerian, jabatan dan agensi yang bertanggungjawab perlu bergerak pantas untuk mengenal pasti tindakan susulan, menetapkan jadual pelaksanaan serta menyelesaikan isu penyelarasan antara agensi dengan segera.
Dalam hal ini, penjawat awam juga perlu bijak membezakan antara inisiatif yang boleh dilaksanakan terus dengan inisiatif yang memerlukan proses perundangan, perolehan atau persediaan teknikal yang rumit dan melibatkan tempoh masa yang panjang.
Prinsipnya, setiap tindakan perlu bergerak secepat yang dibenarkan oleh peraturan tanpa mengabaikan aspek ketelitian dan tadbir urus yang betul.
Selain itu, setiap agensi juga perlu mempermudah urusan rakyat dan menghapuskan segala karenah birokrasi yang tidak perlu dan menjadi penghalang kepada kumpulan sasaran untuk menerima manfaat dengan cepat.
Dalam konteks ini, penjawat awam perlu memastikan prosedur pentadbiran menjadi pemudah cara, bukannya penghalang kepada rakyat yang memerlukan bantuan atau perkhidmatan.
Misalnya, proses yang bertindih, permintaan dokumen berulang, tempoh menunggu yang tidak munasabah dan arahan yang tidak jelas wajar dikenal pasti serta diperbaiki.
Apapun, harus diingat bahawa mempermudah urusan bukan bermaksud mengetepikan peraturan, sebaliknya gunakan peraturan yang ada secara cekap, mengurangkan langkah yang tidak memberi nilai tambah dan memanfaatkan perkongsian data serta teknologi apabila bersesuaian.
Pada masa sama, penjawat awam juga bertanggungjawab memelihara integriti, ketelusan dan amanah dalam mengurus wang awam yang diperuntukkan melalui belanjawan ini.
Hakikatnya, peruntukan yang besar hadir dengan tanggungjawab yang lebih berat. Penjawat awam mesti memastikan dana awam dibelanjakan mengikut tujuan yang diluluskan, perolehan dilaksanakan secara telus dan keputusan dibuat berdasarkan kepentingan awam, bukannya kepentingan peribadi atau kelompok tertentu.
Cukup-cukuplah segala penyelewengan, salah guna kuasa dan rasuah yang didedahkan dalam Laporan Ketua Audit Negara (LKAN) selama ini. Laksanakan amanah ini dengan penuh tanggungjawab dan bermaruah.
Belanjawan kali ini sekali lagi menyenaraikan pelbagai projek berkepentingan rakyat seperti membina dan menyelenggara kuarters penjawat awam, menaik taraf sekolah daif, membina tambahan bilik darjah, selain asrama dan klinik.
Semua projek ini perlu dikendalikan dengan penuh integriti dan tidak boleh ada sebarang ruang untuk ketirisan dan salah guna kuasa.
Ringkasnya, pelaksanaan dan kejayaan belanjawan tidak boleh dipisahkan daripada nilai integriti, yakni sedarlah bahawa setiap ringgit yang bocor atau disalahgunakan ialah manfaat yang gagal diterima oleh rakyat.
Selain itu, pengurusan sumber secara optimum, cekap dan berhemat mencakupi soal peruntukan kewangan yang disediakan serta sumber manusia yang mengendalikan juga amat penting.
Walaupun kerajaan menyediakan sejumlah peruntukan melalui belanjawan namun setiap agensi pelaksana perlu semak semula kos projek yang terlibat dan berusaha untuk memastikan rakyat dan negara memperoleh pulangan yang setimpal dengan peruntukan dibelanjakan.
Perlu elak elemen pemborosan selain pastikan tiada sebarang ketirisan. Untuk itu kita perlu memastikan pegawai yang diamanahkan memiliki nilai integriti dan kecekapan yang tinggi agar mampu memikul tanggungjawab dan menjayakan semua projek dan inisiatif yang ditetapkan.
Akhirnya besarlah juga harapan agar setiap agensi kerajaan turut memberi perhatian kepada aspek mengukur dan menilai hasil pelaksanaan setiap inisiatif yang perlu berpaksikan petunjuk prestasi dan laporan kemajuan yang jelas, praktikal dan objektif.
Secara realitinya, tanggungjawab penjawat awam tidak berakhir apabila peruntukan habis dibelanjakan, projek dilancarkan atau laporan akhir pelaksanaan inisiatif
disediakan.
Sebaliknya apa yang diharapkan ialah agar setiap pelan tindakan itu dinilai secara objektif bagi memastikan sesuatu inisiatif itu benar-benar menyelesaikan masalah yang hendak ditangani.
Maka proses ini memerlukan sasaran yang jelas, petunjuk prestasi yang relevan, pemantauan berkala dengan jadual yang lengkap dan tindakan pembetulan apabila berlaku kelewatan atau hasil tidak menepati sasaran.
Malah dalam hal ini, maklum balas penerima manfaat juga wajar diambil kira dan digunakan untuk mengenal pasti kelemahan dalam pelaksanaan.
Misalnya, peruntukan RM2.3 bilion bagi jalan desa dan RM3.3 bilion bagi prasarana asas perlu disusuli dengan mekanisme pemantauan kemajuan yang teliti, penilain terhadap kualiti kerja yang dilkasanakan oleh kontraktor dilantik serta kesan terhadap akses penduduk kepada sekolah, klinik, bekalan air dan elektrik.
Belanjawan ini akan benar-benar mengakar di bumi apabila setiap sen yang bakal dibelanjakan memberi manfaat maksimum kepada rakyat dan negara, khususnya sampai kepada golongan sasaran yang telah ditetapkan.
Justeru, besarlah harapan kita agar setiap agensi kerajaan dan penjawat awam yang bertindak sebagai tulang belakang dan kelompok pelaksana agenda dan dasar kerajaan dapat memikul amanah dan tanggungjawab berat ini.
Antara carannya dengan merealisasikan apa yang terkandung dalam perancangan Belanjawan 2027 dengan tangkas, cekap dan efisien melalui semangat ihsan serta empati.
Inilah juga masa terbaik untuk penjawat awam membalas segala jasa dan pengiktirafan berterusan pihak kerajaan yang telah menyediakan pelbagai insentif dan inisiatif demi meningkatkan kebajikan rakyat atau golongan memerlukan.
Ia seperti Bantuan Khas Kewangan RM1,500, kenaikan pangkat one-off secara Khas Untuk Penyandang, serta menaikkan jumlah kelayakan cuti bersalin sepanjang tempoh perkhidmatan daripada 360 hari kepada 490 hari.
Sesungguhnya, merancang itu jauh lebih mudah dari melaksanakannya dan kini tanggungjawab berat menanti setiap penjawat awam, kementerian, agensi dan jabatan dalam merealisasikan Belanjawan 2027 sekali gus meningkatkan darjat hidup rakyat.
Artikel ini merupakan pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mewakili pandangan mahu pun pendirian rasmi RTM.

Noor Mohamad Bin Shakil Hameed
Timbalan Pengarah (Komunikasi Korporat)
Pusat Strategi Dan Perhubungan Korporat
Universiti Putra Malaysia
E-mel: nmohd77@upm.edu.my