
SAUDARA PENGARANG
- Gejala kanser paru-paru tidak khusus; batuk berterusan, kehilangan berat badan atau sesak nafas perlu dinilai, jangan diabaikan.
- Stigma penyakit perokok menakutkan pesakit dan bukan perokok, melambatkan pemeriksaan dan diagnosis.
- Perluas saringan berasaskan risiko dekat komuniti melalui klinik primer, X-ray bersokongan AI dan laluan rujukan mudah.
- Tindakan serentak: masyarakat, petugas kesihatan, sistem dan keluarga perlu menyokong pengesanan awal, bukan budaya menunggu.
Bayangkan seorang pekerja yang sudah beberapa minggu batuk. Pada mulanya, dia menganggapnya batuk biasa. Apabila berat badan mula turun, dia masih menunggu. Hanya selepas sesak nafas mula mengganggu kerja harian, barulah dia mendapatkan pemeriksaan.
Situasi seperti ini menggambarkan antara cabaran besar kanser paru-paru. Penyakit ini boleh berkembang tanpa tanda awal yang jelas, manakala gejala yang muncul pula mudah dianggap sebagai masalah kesihatan biasa.
Di Malaysia, keadaan ini membimbangkan. Cancer Matters yang memetik Persatuan Kanser Kebangsaan Malaysia melaporkan sekitar 95.4 peratus kes kanser paru-paru dikesan pada tahap tiga dan empat.
Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) pada Mei 2026 turut menyatakan sekitar 95 peratus kes dikesan apabila sudah berada pada tahap kritikal.
Maksud Tahap “Tiga dan Empat”
Secara mudah, tahap kanser ialah seperti peta yang menunjukkan sejauh mana penyakit telah berkembang. Pada tahap tiga, kanser biasanya sudah merebak lebih luas dalam kawasan dada atau ke kelenjar limfa tertentu.
Pada tahap empat, penyakit telah merebak ke bahagian tubuh yang lebih jauh. Semakin lanjut tahap penyakit, semakin kompleks penilaian dan rawatan yang diperlukan.
Persoalannya, mengapa begitu ramai pesakit hanya dikenal pasti apabila penyakit sudah sampai ke tahap ini?
Apabila Gejala Kelihatan “biasa”
Sebahagian jawapannya terletak pada cara kanser paru-paru menunjukkan tanda. Batuk, mudah letih, suara serak, sesak nafas atau kurang selera makan bukan gejala yang khusus kepada kanser.
Batuk misalnya boleh berlaku akibat jangkitan, alahan, merokok atau pelbagai masalah pernafasan lain. Kerana itu, seseorang mungkin berkata, “Tunggu dahulu, mungkin batuk biasa.”
Masalahnya bukan satu episod batuk. Yang lebih penting ialah perubahan yang tidak pulih atau semakin teruk. Batuk yang berpanjangan, berat badan turun tanpa sebab atau sesak nafas yang semakin ketara wajar dinilai oleh petugas kesihatan.
Di sinilah pentingnya health literacy atau celik kesihatan. Celik kesihatan bukan bermaksud seseorang perlu menjadi pakar perubatan. Ia bermaksud kita tahu bila perubahan pada tubuh masih boleh diperhatikan dan bila sudah tiba masanya mendapatkan bantuan.
Stigma “Penyakit Perokok”
Cabaran kedua ialah tanggapan bahawa kanser paru-paru hanya menyerang perokok. Merokok memang faktor risiko utama, tetapi penyakit ini juga boleh berlaku dalam kalangan mereka yang tidak pernah merokok.
Stigma boleh menyebabkan dua kelompok terlepas daripada pemeriksaan. Perokok mungkin takut dihakimi atau dipersalahkan. Bukan perokok pula mungkin beranggapan, “Saya tidak merokok, jadi ini tentu bukan kanser paru-paru.”
Kedua-dua tanggapan boleh melambatkan tindakan. Sebab itu perbincangan kesihatan awam perlu beralih daripada “siapa yang patut dipersalahkan?”
kepada “siapa yang mempunyai tanda atau risiko dan perlu diperiksa?” Stigma terhadap kanser paru-paru turut dikenal pasti sebagai salah satu halangan kepada diagnosis.
Saringan Perlu Dekat dengan Rakyat
Kesedaran sahaja tidak mencukupi jika pemeriksaan sukar dicapai atau masyarakat tidak tahu ke mana harus pergi.
Di sinilah penjagaan kesihatan primer memainkan peranan. Menjelang akhir 2026, sebanyak 902 Klinik Kesihatan dijangka melaksanakan pendekatan kesihatan paru-paru bersepadu meliputi promosi kesihatan, pencegahan, saringan, pengesanan awal dan sistem rujukan.
Malaysia juga memperluas penggunaan X-ray dada berbantukan kecerdasan buatan (AI), termasuk teknologi pengimejan mudah alih bagi membantu komuniti luar bandar dan kawasan yang sukar diakses.
Namun AI bukan “doktor digital” yang menggantikan doktor. Bayangkan ia sebagai sepasang mata tambahan yang membantu mengenal pasti imej mencurigakan untuk dinilai dengan lebih lanjut oleh petugas kesihatan.
Daripada Menunggu Pesakit Kepada Mengenal Pasti Risiko
Pendekatan baharu juga cuba membawa pemeriksaan kepada kumpulan yang mempunyai pendedahan lebih tinggi.
Program LungShield, misalnya, melibatkan saringan 10,000 anggota polis trafik yang berdepan pendedahan pekerjaan dan persekitaran. Program itu menggunakan X-ray dada berbantukan AI, laporan pakar radiologi dan laluan diagnostik susulan.
Perubahan ini membawa mesej penting: sistem kesihatan tidak seharusnya hanya menunggu seseorang menjadi cukup sakit untuk hadir ke hospital. Kita perlu bergerak lebih awal, terutama apabila faktor risiko atau tanda amaran sudah wujud. Empat langkah perlu bergerak serentak
1. Masyarakat: Jangan biasakan simptom yang berlarutan. Jika sesuatu perubahan tidak pulih atau semakin teruk, dapatkan pemeriksaan.
2. Petugas kesihatan: Nilai simptom dan faktor risiko secara menyeluruh, bukan berdasarkan sejarah merokok sahaja.
3. Sistem kesihatan: Perluaskan saringan berasaskan risiko, pengesanan awal dan laluan rujukan yang mudah difahami.
4. Keluarga dan komuniti: Gantikan stigma dengan sokongan. Galakkan seseorang mendapatkan pemeriksaan, bukan menyalahkannya.
Matlamatnya bukan melakukan CT scan kepada setiap rakyat atau menimbulkan ketakutan setiap kali seseorang batuk. Matlamatnya ialah mengurangkan budaya menunggu.
Jika Malaysia mahu mengubah realiti kanser paru-paru yang banyak dikesan lewat, usaha itu tidak bermula di bilik rawatan sahaja. Ia bermula apabila rakyat mengenali perubahan tubuh, keluarga berani menegur dengan prihatin dan sistem kesihatan memudahkan langkah pertama untuk mendapatkan pemeriksaan.
Kadangkala, perbezaan antara “tunggu dahulu” dengan “periksa dahulu” boleh membawa makna yang sangat besar.
Artikel ini merupakan pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mewakili pandangan mahu pun pendirian rasmi RTM.

Dr Wan Hanis Wan Zakkhry
Pensyarah Perubatan/Pakar Patologi
Fakulti Perubatan
Universiti Sultan Zainal Abidin
Hospital Sultan Zainal Abidin

Dr Azril Shahreez Abdul Ghani
Pensyarah Fisiologi/Pendidikan Perubatan
Kulliyyah Perubatan
Universiti Islam Antarabangsa Malaysia
E-mel: azrilshahreez@iium.edu.my