
KUALA LUMPUR, 16 OGOS – Taktik licik sindiket pengedaran rokok seludup yang menggunakan beberapa lokasi sebagai tempat penyimpanan sementara sebelum diedarkan ke pasaran tempatan akhirnya terbongkar, selepas diserbu pihak berkuasa dalam operasi khas pada Sabtu.
- Op Taring Alpha 1 WCB/PSK Bukit Aman merampas rokok tidak bercukai bernilai RM1.49 juta dan menahan dua lelaki tempatan.
- Serbuan di tiga lokasi KL dan Selangor merampas kenderaan mewah, tiga telefon bimbit serta RM26,415 tunai.
- Sejak 1 Jan hingga 16 Ogos 2026, WCB/PSK melancarkan 237 serbuan, menahan 411 individu dan merampas barangan bernilai RM312.5 juta.
Dalam operasi khas Op Taring Alpha 1, Wildlife Crime Bureau/Perisikan Siasatan Khas (WCB/PSK) Bukit Aman merampas rokok pelbagai jenama tidak bercukai bernilai RM1.49 juta, serta menahan dua lelaki tempatan berusia 20 dan 22 tahun.
Komander WCB/PSK Bukit Aman, Datuk Mohd Zaki Ashar berkata, operasi hasil risikan itu dijalankan secara berperingkat dengan menyasarkan tiga lokasi serbuan di sekitar Kuala Lumpur dan Selangor.
“Serbuan bermula pada pukul 12.05 tengah hari di Taman Seri Sentosa, Kuala Lumpur yang membawa kepada penahanan suspek pertama bersama sejumlah rokok tidak bercukai dalam kenderaannya.
“Hasil soal siasat membawa pasukan operasi ke lokasi kedua di Semenyih, Selangor pada pukul 3 petang yang dijadikan stor penyimpanan utama pelbagai jenama rokok.
“Serbuan ketiga pula dilakukan pada pukul 3.30 petang di Damansara Damai, Petaling Jaya dan menahan suspek kedua,” katanya dalam satu kenyataan.
Menurut beliau, barangan yang dirampas dan disita termasuk rokok tidak bercukai bernilai RM360,400 (serbuan pertama), RM911,680 (serbuan kedua) dan RM219,413 (serbuan ketiga).
Polis turut menyita dua kenderaan mewah jenis Toyota Vellfire dan Alphard, tiga telefon bimbit serta wang tunai berjumlah RM26,415.
Kedua-dua suspek yang ditahan dipercayai bekerja sebagai penghantar rokok berbayar sejak empat hingga enam bulan lalu.
“Premis yang diserbu digunakan sebagai tempat transit sebelum bekalan dihantar ke kedai-kedai sekitar Kuala Lumpur. Urusan pengambilan dan penghantaran pula diatur sepenuhnya melalui aplikasi mesej dalam talian,” katanya.
Kedua-dua suspek kini ditahan mengikut Seksyen 135(1)(d) Akta Kastam 1967 untuk siasatan lanjut.
Dalam perkembangan berkaitan, Datuk Mohd Zaki memaklumkan, sepanjang tempoh 1 Januari hingga 16 Ogos 2026, WCB/PSK telah melancarkan 237 serbuan di seluruh negara.
Operasi berkenaan membawa kepada penangkapan 411 individu serta rampasan pelbagai barangan seludup bernilai RM312.5 juta.