Langkah kerajaan stabilkan TH terus raih keyakinan pendeposit

Foto RTM

KUALA LUMPUR, 16 Ogos – Usaha kerajaan menstabilkan semula Tabung Haji (TH) terus mendapat keyakinan para pendeposit yang melihat institusi itu kekal sebagai medium simpanan penting untuk keperluan ibadah dan masa hadapan.

RINGKASAN BERITA AI
  • Pendeposit menikmati agihan dividen berterusan, meningkatkan keyakinan terhadap simpanan.
  • TH sesuai untuk simpanan jangka panjang, kecemasan, serta persediaan menunaikan haji atau umrah.
  • Tindakan pantas kerajaan ketika berlakunya kesilapan meningkatkan rasa selamat dan keyakinan pendeposit.

Bagi pendeposit, Ahmad Zikri Ani, langkah kerajaan menyelesaikan isu berkaitan TH memberi keyakinan untuk beliau terus menyimpan wang dalam institusi berkenaan.

Katanya, perkembangan itu turut dapat dilihat menerusi agihan dividen yang dinikmati pendeposit dari semasa ke semasa.

“Alhamdulillah kita dapat tengok kerajaan boleh bagi sedikit sebanyak inisiatif daripada kerajaan sendiri untuk menyelesaikan masalah ini sebab sampai sekarang pun kita sebagai pendeposit Tabung Haji sendiri dapat menikmati dividen-dividen yang telah diberikan kepada kita, katanya ketika ditemui RTM.

Bagi Nurul Sakeena Noorzaily pula, TH kekal sebagai saluran simpanan yang ideal, terutamanya bagi tujuan simpanan jangka panjang dan persediaan kecemasan.

“Duit simpanan ini boleh digunakan untuk menunaikan haji atau umrah kelak, selain kegunaan waktu kecemasan. Lebih menarik, kadar dividennya menunjukkan peningkatan dari masa ke semasa,” jelasnya

Sementara itu, seorang lagi pendeposit, Noorfadzilah Mustafa Kamal menyifatkan tahap keyakinannya terhadap kestabilan dan keselamatan simpanan di TH kini berada pada tahap tertinggi.

“Bagi saya, tiada masalah dan sangat selamat untuk diteruskan. Kerajaan telah mengambil tindak balas yang pantas apabila berlaku sesuatu kesilapan,” katanya.

Reaksi positif daripada pelbagai lapisan pendeposit jelas mencerminkan peranan TH yang kekal relevan, bukan sekadar institusi simpanan kewangan, malah tunjang penting dalam memudah cara urusan ibadah haji umat Islam di negara ini.

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.