
SYDNEY, 16 Ogos – Australia pada Ahad mendedahkan butiran skim beli balik senjata api yang diharamkan susulan insiden tembakan yang meragut nyawa di Pantai Bondi, Sydney pada Disember, lapor Agensi Berita Jerman (dpa).
- NSW akan lancarkan skim beli balik bermula 2 Nov, menawarkan sehingga A$1,000 untuk menyerahkan senjata yang terjejas.
- Fasa kedua awal 2027 untuk pampasan senjata bernilai tinggi; kerajaan anggarkan sehingga 274,000 senjata dikeluarkan.
- Undang-undang baharu mengehadkan jenis dan jumlah senjata, memperketat pemeriksaan, dan memendekkan tempoh lesen daripada lima kepada dua tahun.
Dalam kejadian itu, dua lelaki bersenjata yang merupakan bapa dan anak melepaskan tembakan ke arah orang ramai yang sedang meraikan perayaan Yahudi Hanukkah di Pantai Bondi, menyebabkan 15 orang maut dan puluhan lagi cedera.
New South Wales (NSW) akan menjadi negeri pertama di negara itu melaksanakan skim beli balik berkenaan, kata Ketua Menteri negeri Chris Minns.
“Selepas serangan pengganas anti-Semitik yang mengerikan di Pantai Bondi, kami berjanji kepada penduduk NSW bahawa kami akan memperketat undang-undang senjata api dan melakukan segala yang termampu untuk menjadikan komuniti kita lebih selamat,” kata Minns.
Mulai 2 Nov, pemilik senjata api di NSW akan ditawarkan sehingga A$1,000 (US$708) untuk menyerahkan senjata yang terjejas akibat had pemilikan baharu dan perubahan klasifikasi.
Fasa kedua skim itu pada awal 2027 akan membabitkan pampasan bagi senjata api bernilai lebih tinggi yang layak.
“Ini akan menjadi program terbesar untuk mengeluarkan senjata api berbahaya daripada edaran dalam tempoh hampir 30 tahun,” kata Minns.
“Tiada satu pun undang-undang yang boleh menghapuskan setiap risiko.
“Namun, semakin kurang senjata api berbahaya dalam komuniti kita, semakin selamat NSW.”
Minns menganggarkan sehingga 274,000 senjata api akan dikeluarkan daripada edaran menerusi skim beli balik itu.
Susulan serangan Bondi, kerajaan NSW meluluskan undang-undang senjata api baharu yang mengehadkan serta menyekat jumlah dan jenis senjata api yang boleh dimiliki seseorang, memperketat pemeriksaan terhadap mereka yang ingin memiliki senjata api serta memendekkan tempoh lesen daripada lima tahun kepada dua tahun.
Perdana Menteri Anthony Albanese berjanji untuk melaksanakan skim beli balik di peringkat nasional beberapa hari selepas serangan itu.
Bagaimanapun, rancangan berkenaan ditangguhkan susulan ketidaktentuan mengenai pembiayaan dan pelaksanaannya. – BERNAMA-dpa