Iran tuntut Qatar bebaskan tiga juruterbang yang didakwa ditahan

Foto AFP

TEHRAN, 16 Ogos – Iran menuntut Qatar membebaskan tiga juruterbangnya yang didakwa ditahan selepas pesawat tempur mereka terhempas ketika perang di Asia Barat pada Mac lalu.

RINGKASAN BERITA AI
  • Ketiga juruterbang dikenal pasti: Javad Salehi, Abdolmajid Dashtian dan Omran Behraveshian.
  • Iran mendakwa mereka ditahan enam bulan dan tidak dibenarkan bertemu atau menghubungi keluarga.
  • Qatar menafikan dakwaan itu dan menyifatkannya sebagai kenyataan yang mengelirukan.
  • Qatar memaklumkan penemuan jasad seorang juruterbang dan menjemput pasukan Iran; Tehran belum memberi respons.

Menurut agensi berita Fars, Jeneral Mohammad Bagherzadeh daripada angkatan bersenjata Iran mendakwa ketiga-tiga juruterbang itu ditangkap hidup-hidup oleh pasukan Qatar selepas pesawat Su-24 mereka terhempas.

Ketiga-tiga mereka dikenal pasti sebagai Javad Salehi, Abdolmajid Dashtian dan Omran Behraveshian.

Bagherzadeh mendakwa ketiga-tiga juruterbang itu telah ditahan selama enam bulan dan tidak dibenarkan bertemu atau menghubungi keluarga masing-masing.

Dalam surat kepada Jawatankuasa Antarabangsa Palang Merah (ICRC), beliau menggesa supaya mereka dibebaskan.

Bagaimanapun, Qatar menafikan dakwaan berkenaan.

Jurucakap Kementerian Luar Qatar, Majed Al Ansari, berkata negaranya “menafikan sekeras-kerasnya” dakwaan bahawa juruterbang Iran ditahan dan menyifatkannya sebagai kenyataan yang mengelirukan.

Menurutnya, pasukan penyelamat Qatar telah menjalankan operasi mencari juruterbang berkenaan dan memaklumkan kepada pihak Iran mengenai penyerahan jasad seorang juruterbang yang ditemui.

Qatar juga mendakwa telah menjemput pasukan Iran untuk mengunjungi negara itu pada April bagi mendapatkan maklumat mengenai operasi mencari dan menyelamat, namun jemputan tersebut belum mendapat respons Tehran.

Bulan lalu, tentera Iran mengumumkan pihaknya berjaya mendapatkan jasad juruterbang Majid Kazemi, yang terbunuh dalam serangan ke atas Pangkalan Udara Al Udeid di Qatar pada awal Mac.

Pangkalan berkenaan menempatkan komponen hadapan Markas Pemerintahan Tengah Amerika Syarikat (CENTCOM), termasuk pasukan udara dan operasi khas Amerika Syarikat.

Ia merupakan pangkalan tentera AS terbesar di rantau berkenaan.

Pada awal Mac, Kementerian Pertahanan Qatar berkata tenteranya menembak jatuh dua pesawat pengebom Iran jenis Sukhoi Su-24.

Bagaimanapun, tidak dapat dipastikan sama ada pesawat yang ditembak jatuh itu merupakan pesawat yang sama dikaitkan dengan tiga juruterbang yang didakwa Tehran hilang.

Qatar menjadi negara Teluk pertama melaporkan penembakan jatuh pesawat Iran sejak perang tercetus pada 28 Februari, susulan serangan AS dan Israel ke atas Iran.

Usaha diplomatik kemudiannya membawa kepada gencatan senjata pada April selepas hampir 40 hari pertempuran, sebelum rangka kerja rundingan damai ditandatangani pada Jun.

Namun, proses berkenaan akhirnya gagal.

Sejak itu, Iran dan AS kembali berbalas serangan, dengan pertempuran tertumpu di selatan Iran dan sekitar Selat Hormuz.

Qatar turut menjadi sasaran selepas gencatan senjata gagal, termasuk serangan ke atas wilayahnya dan sekurang-kurangnya sebuah kapal tangki Qatar yang melalui Selat Hormuz.

Serangan berlaku ketika Qatar meningkatkan usaha menjadi orang tengah bagi mencapai penyelesaian diplomatik terhadap konflik berkenaan bersama Pakistan.

Pertempuran antara AS dan Iran dilaporkan reda sejak akhir Julai, namun serangan secara sporadik terhadap kapal di Selat Hormuz masih berterusan. – AFP

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.