Rakan Niaga SARA bantu penduduk Pulau Bum Bum jimat kos

Datuk Seri Amir Hamzah beramah mesra bersama penduduk kampung pada Program Turun Padang Sumbangan Asas Rahmah (SARA) di Pulau Bum Bum/ Foto BERNAMA

SEMPORNA, 15 Ogos – Penduduk Pulau Bum Bum di Sabah kini mempunyai akses lebih mudah untuk mendapatkan barangan keperluan menggunakan Sumbangan Asas Rahmah (SARA) tanpa perlu menaiki bot ke tanah besar, susulan pembukaan premis Rakan Niaga SARA di kawasan berkenaan.

RINGKASAN BERITA AI
  • Peluasan Rakan Niaga SARA memastikan jarak dan lokasi tidak menghalang rakyat menikmati manfaat bantuan kerajaan.
  • Kadar penggunaan SARA di Sabah telah melebihi 99 peratus, menunjukkan keberkesanan program.
  • Terdapat 1,495 premis Rakan Niaga SARA di Sabah, termasuk 32 di Semporna dan 115 di Tawau.
  • Premis Pulau Bum Bum jimatkan kos pengangkutan dan memudahkan lebih 25,000 penduduk termasuk kira-kira 3,300 penerima STR dan SARA Bulanan.

Menteri Kewangan II, Datuk Seri Amir Hamzah Azizan berkata, peluasan jaringan Rakan Niaga SARA penting bagi memastikan faktor jarak dan lokasi tidak menjadi penghalang kepada rakyat untuk menikmati manfaat bantuan kerajaan.

“Kita nak memastikan penggunaan SARA ini meluas. Kalau kita lihat di negeri Sabah, terdapat kira-kira 800,000 penerima SARA di negeri ini, dengan peruntukan yang disediakan untuk tahun ini melebihi RM1.3 bilion.

“Alhamdulillah untuk negeri Sabah, kadar penggunaan SARA telah melebihi 99 peratus,” katanya ketika ditemui pada Program Turun Padang Sumbangan Asas Rahmah (SARA) di Pulau Bum Bum, di sini.

Keseluruhannya, terdapat 1,495 premis Rakan Niaga SARA beroperasi di Sabah, termasuk 32 di Semporna dan 115 di Tawau.

Di Pulau Bum Bum, Koperasi Anugerah Haji Badji merupakan satu-satunya Rakan Niaga SARA di kawasan itu dan yang ke-33 di daerah Semporna.

Sementara itu, Pengurus Koperasi Anugerah Haji Badji Semporna Berhad, Sobri Lawdji berkata, kemudahan tersebut membantu penduduk menjimatkan kos pengangkutan, selain tidak perlu lagi berulang-alik ke bandar untuk mendapatkan barangan keperluan.

“Alhamdulillah, setakat ini memang sangat baguslah, memang sangat rancak dan sangat memudahkan masyarakat di sini, khususnya Pulau Bum Bum, sebab mereka tidak perlu lagi turun ke bandar. Kita sudah dapat menjimatkan kos pengangkutan, tambang kereta….memang sangat membantu,” katanya.

Seorang penerima SARA, Elsa Otoh ketika ditemui RTM turut menyambut baik pembukaan premis Rakan Niaga SARA di Pulau Bum Bum yang banyak membantu meringankan beban perbelanjaan harian.

“Cabaran paling besar dahulu, kena naik dua kenderaan, lepas tu naik bot untuk sampai ke pekan. Dari pulau ini ke jeti Belimbang RM4, bila naik bot RM2, jadi RM6 kesemuanya. Ini (Rakan Niaga SARA) sangat baik untuk penduduk di sini, terutama kami di pulau ini. Dapat membantu dari segi belanja harian dan bulanan, sangat senanglah mudah untuk kami,” katanya.

Kemudahan Rakan Niaga SARA di Pulau Bum Bum memberi manfaat kepada lebih 25,000 penduduk yang layak menerima SARA Untuk Semua, termasuk kira-kira 3,300 penerima STR dan SARA Bulanan.

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.