UiTM sambut baik reformasi perundangan pendidikan tinggi, sedia perkasa Akta 173

Foto BERNAMA

SHAH ALAM, 15 Ogos – Universiti Teknologi MARA (UiTM) menyambut baik usaha kerajaan membangunkan kerangka perundangan pendidikan tinggi yang lebih komprehensif, progresif dan berdaya hadapan menerusi Rancangan Pendidikan Tinggi Malaysia (RPTM) 2026-2035.

RINGKASAN BERITA AI
  • UiTM menyokong hasrat KPT dan sedia memberi pandangan serta kepakaran dalam proses libat urus reformasi perundangan pendidikan tinggi.
  • UiTM mempunyai kedudukan perundangan tersendiri di bawah Akta 173 dan tidak tertakluk kepada AUKU.
  • Sebarang penambahbaikan Akta 173 perlu teliti, mengambil kira identiti, sejarah, mandat dan tanggungjawab khusus UiTM.
  • UiTM menyokong pendekatan inklusif melibatkan kepimpinan, akademik, mahasiswa, pakar perundangan dan industri, serta sedia bekerjasama dengan KPT.

Naib Canselor UiTM, Profesor Datuk Ts. Dr. Shahrin Sahib @ Sahibuddin berkata, reformasi itu penting bagi memastikan kerangka tadbir urus institusi pendidikan tinggi negara kekal relevan dengan perubahan landskap pendidikan, perkembangan teknologi serta tuntutan masyarakat dan industri.

“UiTM menyokong hasrat Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) untuk memastikan kerangka perundangan pendidikan tinggi negara sentiasa relevan, progresif dan mampu menjawab keperluan semasa serta masa hadapan.

“Sebagai sebuah universiti yang ditadbir melalui Akta 173, UiTM bersedia memberikan pandangan dan kepakaran dalam proses libat urus yang akan dilaksanakan,” katanya dalam satu kenyataan.

Menurut beliau, UiTM mempunyai kedudukan perundangan tersendiri kerana ditubuhkan dan ditadbir menerusi Akta Universiti Teknologi MARA 1976 (Akta 173) dan tidak tertakluk kepada Akta Universiti dan Kolej Universiti 1971 (AUKU).

Bagaimanapun, terdapat beberapa prinsip dan peruntukan dalam Akta 173 yang mempunyai persamaan dari segi kerangka tadbir urus dengan perundangan universiti awam yang lain.

Oleh itu, sebarang pembaharuan menyeluruh terhadap ekosistem perundangan pendidikan tinggi wajar turut dilihat daripada perspektif kesesuaian dan keperluan UiTM.

“Sebarang penambahbaikan terhadap Akta 173 perlu dilakukan secara teliti dengan mengambil kira identiti, sejarah, mandat dan tanggungjawab khusus UiTM, selain memastikan tadbir urus, autonomi institusi, kecemerlangan akademik dan pembangunan mahasiswa terus diperkasakan,” katanya.

Pada masa sama, UiTM turut menyokong pendekatan KPT yang melibatkan kepimpinan universiti, ahli akademik, mahasiswa, pakar perundangan, industri dan pihak berkepentingan lain dalam proses reformasi berkenaan.

UiTM sedia bekerjasama dengan KPT bagi memastikan sebarang pembaharuan perundangan pendidikan tinggi, termasuk yang melibatkan Akta 173 memberi manfaat terbaik kepada universiti, mahasiswa, masyarakat dan negara.

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.