
BAGAN DATUK, 15 Ogos – Masjid Tuminah Hamidi, Bagan Datuk bakal menjadi Masjid Pelancongan ke-98 di Malaysia, sekali gus memperkukuh peranan masjid sebagai produk pelancongan mesra Muslim.
- Pemilihan Masjid Tuminah Hamidi bermakna; ia dibangunkan pada 2023 sebagai wakaf untuk kedua ibu bapanya, menurut Timbalan Perdana Menteri.
- Beliau berdoa agar pahala masjid berterusan selagi diimarahkan dengan solat berjemaah, majlis ilmu dan aktiviti kemasyarakatan memberi manfaat kepada ummah.
- MOTAC nyatakan lebih 6,000 masjid berpotensi jadi tarikan pelancongan; 97 dikenalpasti, dan NMOD diperluas untuk promosikan masjid sebagai produk pelancongan.
Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata, pemilihan masjid berkenaan amat bermakna kerana ia dibangunkan pada 2023 sebagai wakaf buat kedua-dua ibu bapanya.
Sudah semestinya saya amat berbesar hati kerana Masjid Tuminah Hamidi ini amat dekat di hati saya dan penduduk Bagan Datuk.
“Saya sentiasa berdoa agar pahala daripada masjid ini terus mengalir, insya-Allah, selagi ia diimarahkan dengan solat berjemaah, majlis ilmu, aktiviti kemasyarakatan dan segala usaha yang membawa manfaat kepada ummah”, katanya.
Beliau turut berharap agar program Hari Terbuka Masjid Kebangsaan (NMOD) dapat diperluas ke lebih banyak masjid di seluruh negara.
Menurutnya, masjid bukan sahaja menjadi rumah ibadah, malah berpotensi memperkenalkan sejarah, budaya dan ketamadunan Islam kepada pelancong.
Teks ucapan beliau dibacakan Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Luar Bandar, Perladangan, Pertanian dan Industri Makanan Perak, Datuk Mohd Zolkafly Harun.
Turut hadir Ketua Setiausaha Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC), Datuk Shaharuddin Abu Sohot dan Ketua Pengarah Pusat Pelancongan Islam (ITC), Mohammad Faisal Abu Suaib Khan.
Dalam perkembangan berkaitan, Ketua Setiausaha MOTAC, Datuk Shaharuddin Abu Sohot berkata, lebih 6,000 masjid di seluruh negara berpotensi menjadi tarikan pelancongan, termasuk 97 buah masjid yang dikenal pasti sebagai masjid pelancongan.
Ujarnya, Program Hari Terbuka Masjid Kebangsaan (NMOD) menjadi antara usaha memperluas potensi masjid sebagai produk pelancongan.