Lee cadang rundingan tamatkan Perang Korea secara rasmi

Presiden Korea Selatan, Lee Jae Myung / Foto AFP

SEOUL, 15 Ogos – Korea Selatan mencadangkan rundingan dengan Korea Utara bagi menamatkan secara rasmi Perang Korea yang bermula lebih tujuh dekad lalu.

RINGKASAN BERITA AI
  • Kedua-dua Korea masih secara teknikal berada dalam keadaan perang, kerana konflik 1950-53 berakhir dengan gencatan senjata bukan perjanjian damai.
  • Sejak Jun 2025 Lee mengambil pendekatan lebih sederhana; Seoul kini memberi tumpuan menghentikan peluasan aktiviti nuklear Pyongyang.
  • Korea Utara belum memberi respons, menegaskan status nuklear tidak boleh diubah dan memperkukuh hubungan ketenteraan dengan Rusia.

Presiden Korea Selatan, Lee Jae Myung mengemukakan cadangan itu dalam ucapan sempena ulang tahun pembebasan Korea daripada pemerintahan penjajah Jepun dari 1910 hingga 1945.

“Marilah kita mengetepikan niat untuk saling mengancam dan memulakan perbincangan bagi menamatkan perang yang berlarutan sekian lama sebagai pihak yang terlibat secara langsung.

“Melalui langkah ini, mungkin juga kita dapat membincangkan langkah berkesan untuk menghentikan kemajuan nuklear Korea Utara,” katanya.

Kedua-dua negara itu secara teknikal masih berada dalam keadaan perang kerana konflik 1950 hingga 1953 berakhir dengan perjanjian gencatan senjata dan bukannya perjanjian damai.

Sejak mengambil alih pentadbiran pada Jun 2025, Lee mengambil pendekatan lebih sederhana terhadap Korea Utara berbanding Presiden sebelumnya.

Pada Julai, Menteri Penyatuan Korea Selatan berkata Seoul tidak lagi mengutamakan kempen tekanan terhadap Pyongyang supaya melucutkan senjata nuklearnya, sebaliknya memberi tumpuan kepada usaha menghentikan peluasan aktiviti nuklear negara itu.

Bagaimanapun, Korea Utara masih belum memberi respons terhadap tawaran Lee dan berulang kali menegaskan statusnya sebagai negara nuklear yang “tidak boleh diubah”.

Pendirian itu muncul ketika Pyongyang turut mengecam latihan ketenteraan tahunan Amerika Syarikat (AS)-Korea Selatan yang bakal berlangsung serta memberi amaran akan mengambil langkah pencegahan lebih kuat.

Korea Utara pada masa sama terus memperkukuh hubungan ketenteraan dengan Rusia.

Penganalisis berkata Pyongyang menerima sokongan kewangan, makanan, tenaga dan teknologi ketenteraan daripada Moscow sebagai balasan kerana membekalkan tentera serta peluru untuk perang Rusia di Ukraine.

Washington menempatkan kira-kira 28,500 anggota tentera di Korea Selatan bagi memperkukuh pertahanan negara itu daripada ancaman ketenteraan Pyongyang. – AFP

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.