Akta baharu sedang dirangka ganti AUKU

Foto hiasan

KUALA LUMPUR, 15 Ogos – Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) sedang merangka akta baharu yang lebih komprehensif bagi menggantikan Akta Universiti dan Kolej Universiti 1971 (Akta 30) (AUKU).

RINGKASAN BERITA AI
  • AUKU akan dimansuhkan dan digantikan dengan kerangka perundangan pendidikan tinggi yang lebih komprehensif dan progresif.
  • Kerangka baharu selaras dengan agenda One Higher Education Act melalui RPTM 2026-2035.
  • Proses dilakukan secara inklusif, mengambil kira pandangan universiti, akademik, industri, penyedia TVET, politeknik, kolej komuniti, mahasiswa dan pakar perundangan.
  • Matlamat memperkukuh autonomi institusi, kebebasan akademik dan suara mahasiswa selain memastikan tadbir urus, akauntabiliti dan kecemerlangan terpelihara.

Menteri Pendidikan Tinggi Datuk Seri Dr. Zambry Abdul Kadir dalam kenyataan memaklumkan, usaha memperbaharui kerangka perundangan pendidikan tinggi negara itu selaras dengan agenda pembentukan One Higher Education Act bawah Rancangan Pendidikan Tinggi Malaysia (RPTM) 2026-2035.

AUKU bukan semata-mata akta yang mengawal selia hal ehwal atau kebebasan mahasiswa, sebaliknya merupakan akta induk yang menjadi asas kepada penubuhan, pentadbiran dan tadbir urus universiti serta kolej universiti.

“Pemansuhannya perlu disusuli dengan suatu kerangka perundangan baharu yang lebih menyeluruh, progresif dan sesuai dengan keperluan pendidikan tinggi masa kini serta masa hadapan.

“Proses ini pastinya akan dilaksanakan secara inklusif dan menyeluruh, dengan mengambil kira pandangan semua pihak berkepentingan termasuk kepimpinan universiti, ahli akademik, Institusi Pendidikan Tinggi awam dan swasta, pemain industri, politeknik dan kolej komuniti, penyedia TVET, pakar perundangan, mahasiswa serta pihak-pihak berkaitan,” menurut kenyataan itu hari ini.

Matlamat kerajaan bukan sekadar memansuhkan sebuah akta, tetapi membina kerangka perundangan pendidikan tinggi yang lebih komprehensif dan berdaya hadapan.

Kerangka baharu itu akan memberi tumpuan kepada usaha memperkukuh autonomi institusi, kebebasan akademik dan suara mahasiswa, di samping memastikan aspek tadbir urus, akauntabiliti serta kecemerlangan institusi pendidikan tinggi terus terpelihara.

“Pendekatan menyeluruh itu penting bagi memastikan kerangka perundangan baharu dapat memenuhi keperluan ekosistem pendidikan tinggi negara yang semakin kompleks serta bersedia menghadapi cabaran masa hadapan,” tambah kenyataan itu.

Terdahulu, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim mengumumkan, kerajaan akan memansuhkan AUKU bagi memberikan kebebasan lebih luas kepada mahasiswa dan ia dibuat susulan masih terdapat pihak yang tidak berpuas hati meskipun beberapa pindaan terhadap akta berkenaan sudah dilakukan.

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.