
KUALA LUMPUR, 15 Ogos — Rakyat Malaysia berpeluang menyaksikan Formula 1 secara langsung di Litar Antarabangsa Sepang (SIC) dengan Tiket MADANI serendah RM200 untuk pemegang MyKad, termasuk akses sepanjang tiga hari pada Oktober ini.
- Kerajaan umum Tiket MADANI khas untuk pemegang MyKad bagi acara Formula 1 di Litar Antarabangsa Sepang.
- Perdana Menteri berkata inisiatif memberi peluang lebih ramai rakyat merasai pengalaman menonton perlumbaan secara langsung.
- Perlumbaan Gulf Air Bahrain Grand Prix dijadual 2 hingga 4 Oktober 2026 di Litar Antarabangsa Sepang.
- Terdapat enam kategori tempat duduk; beberapa grandstand berbumbung manakala hillstand adalah kawasan terbuka berumput; butiran jualan akan diumumkan SIC.
Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, inisiatif itu memberi peluang kepada lebih ramai rakyat Malaysia merasai pengalaman menyaksikan perlumbaan Formula 1 secara langsung di Sepang.
“Alhamdulillah, hasil perbincangan dan persetujuan bersama Bahrain, kerajaan sukacita mengumumkan Tiket MADANI khusus untuk pemegang MyKad pada harga serendah RM200 bagi akses sepanjang tiga hari acara,” katanya menerusi hantaran di Facebook hari ini.
Anwar berkata, butiran lanjut mengenai penjualan Tiket MADANI akan diumumkan pihak SIC dalam masa terdekat.
Formula 1 Gulf Air Bahrain Grand Prix in Malaysia 2026 dijadual berlangsung di SIC dari 2 hingga 4 Oktober ini.
Berdasarkan kadar khas yang diumumkan, pemegang MyKad boleh mendapatkan tiket bagi enam kategori tempat duduk dengan harga antara RM200 hingga RM2,083.40.
Tiket paling rendah ialah Hillstand G pada harga RM200, manakala Hillstand B dan Hillstand C masing-masing berharga RM809.60.
Bagi kategori grandstand, tiket Grandstand F ditawarkan pada RM1,291.40, Grandstand K1 RM1,386 dan Grandstand Utama RM2,083.40.
Grandstand Utama, Grandstand K1 dan Grandstand F menyediakan tempat duduk serta ruang tontonan berbumbung, manakala Hillstand B, C dan G merupakan kawasan terbuka dan berumput.