
PUTRAJAYA, 15 Ogos – Dua individu bergelar Datuk direman lima hari sehingga 19 Ogos ini selepas ditahan berhubung siasatan hasil Laporan Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) Tabung Haji (TH).
- Seorang CEO syarikat perkapalan disyaki mengemukakan dokumen kontrak palsu ketika membuat bayaran kepada Tabung Haji.
- Dua individu bergelar Datuk dan Datuk Seri disyaki memperdaya pegawai TH supaya melabur, menjanjikan penyenaraian syarikat di Bursa Malaysia.
- Empat bekas pengurusan kanan TH, termasuk seorang Datuk Seri, disyaki terlibat rasuah berkaitan pajakan empat hotel bernilai SR2.49 bilion.
Mereka terdiri daripada seorang Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) syarikat perkapalan dan seorang pengarah syarikat pembinaan.
Perintah reman dikeluarkan Majistret Ahmad Afiq Hasan selepas permohonan dibuat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) di Mahkamah Majistret Putrajaya, pagi tadi.
Lima lagi individu termasuk seorang wanita dilepaskan dengan jaminan SPRM kerana masalah kesihatan.
Secara keseluruhan, tujuh individu berusia lingkungan 50-an dan 60-an ditahan pada Jumaat berhubung siasatan berkenaan.
Bagi kes pertama, seorang CEO syarikat perkapalan disyaki mengemukakan dokumen mengandungi butir matan palsu ketika membuat bayaran kepada TH.
Ia melibatkan pemalsuan dokumen kontrak sebuah syarikat petroleum untuk kepentingan syarikat miliknya.
Dua individu lain masing-masing bergelar Datuk dan Datuk Seri pula disyaki memperdayakan pegawai TH untuk membuat pelaburan dalam sebuah syarikat pembinaan.
Mereka disyaki menjanjikan potensi syarikat berkenaan disenaraikan di Bursa Saham Malaysia.
Sementara itu, empat bekas pengurusan kanan TH termasuk seorang bergelar Datuk Seri dan seorang wanita disyaki terlibat amalan rasuah.
Kes itu berkaitan perjanjian pajakan empat hotel dengan sebuah syarikat di Arab Saudi berjumlah SR2.49 bilion, yang telah menyebabkan kerugian kepada TH.
Menurut sumber SPRM, kesemua individu berkenaan ditahan secara berperingkat kira-kira pukul 3 petang hingga 10.30 malam pada JUmaat di Ibu Pejabat SPRM Putrajaya.
Penahanan itu susulan siasatan pasukan khas yang ditubuhkan SPRM untuk menyemak dan meneliti hasil laporan RCI TH yang didedahkan kepada umum menerusi portal rasmi Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) pada 29 Julai lalu.
Ketua Pesuruhjaya SPRM, Datuk Seri Abd Halim Aman, ketika dihubungi mengesahkan penahanan itu. Kes disiasat bawah Seksyen 18 Akta SPRM 2009 serta Seksyen 16(a)(A) Akta SPRM 2009.