
RANAU, 15 Ogos — Kira-kira 20 hektar kawasan hutan di Puncak Bukit Skim 2, Lohan 1, di sini terbakar malam tadi.
- Panggilan kecemasan diterima pada pukul 10.37 malam, menurut Pusat Gerakan Operasi JBPM Sabah.
- Tujuh anggota Balai Bomba dan Penyelamat dikejarkan bersama sebuah jentera, perjalanan kira-kira 11 kilometer dari balai.
- Kebakaran berjaya dikawal daripada terus merebak pada pukul 6 pagi, tetapi operasi pemadaman dan pemantauan diteruskan.
- Tiada mangsa dilaporkan, manakala operasi turut dibantu Angkatan Pertahanan Awam Malaysia.
Pusat Gerakan Operasi (PGO) Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sabah dalam kenyataan berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian itu pada pukul 10.37 malam.
“Seramai tujuh anggota Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Ranau bersama sebuah jentera dikejarkan ke lokasi yang terletak kira-kira 11 kilometer dari balai untuk menjalankan operasi pemadaman,” menurut kenyataan itu.
Kebakaran berjaya dikawal daripada terus merebak pada 6 pagi tadi, namun operasi pemadaman masih diteruskan bagi memastikan tiada lagi punca api yang boleh menyebabkan kebakaran berulang.
Pasukan bomba turut menjalankan pemantauan berterusan di kawasan terbabit.
Tiada mangsa dilaporkan terlibat dalam kejadian itu, manakala operasi turut dibantu Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM).