UK tandatangani perjanjian US$22 juta sokong tentera, Pasukan Keselamatan Lubnan

Kepulan asap tebal kelihatan di perkampungan Zawtar al-Gharbiyah di selatan Lubnan ketika diletupkan tentera Israel pada 13 Ogos lalu./AFP

BEIRUT/ ISTANBUL, 14 Ogos – United Kingdom (UK) menandatangani memorandum persefahaman (MoU) bernilai £16.3 juta (kira-kira US$22 juta) bagi menyokong Tentera Lubnan dan Pasukan Keselamatan Dalam Negeri, menurut Kedutaan Britain di Beirut pada Jumaat, lapor Anadolu Ajansi.

RINGKASAN BERITA AI
  • MoU ditandatangani bersama Kementerian Dalam Negeri dan Kementerian Pertahanan bagi Program Bantuan Keselamatan Dalam Negeri selama 31 bulan.
  • Program menyokong Angkatan Tentera dan Pasukan Keselamatan Dalam Negeri untuk meningkatkan keselamatan, kestabilan, kuasa kerajaan dan daya tahan institusi keselamatan.
  • Bantuan disalurkan menerusi Dana Keselamatan Bersepadu UK untuk memperkukuh operasi kepolisan dan penyelarasan antara institusi keselamatan.
  • Program menyokong tindak balas profesional terhadap ancaman keselamatan, membanteras keganasan, dan membina keupayaan institusi; kerjasama Britain bermula sejak 2009.

Kedutaan itu dalam satu kenyataan menjelaskan yang MoU berkenaan ditandatangani pada Khamis bersama Kementerian Dalam Negeri dan Perbandaran serta Kementerian Pertahanan Negara Lubnan, di bawah Program Bantuan Keselamatan Dalam Negeri selama 31 bulan untuk Pasukan Keselamatan Dalam Negeri Lubnan.

Menteri Dalam Negeri Lubnan Ahmad Al-Hajjar, Menteri Pertahanan Michel Menassa dan Duta Britain Hamish Cowell menandatangani memorandum itu di Kementerian Dalam Negeri di Beirut, menurut Agensi Berita Nasional Lubnan.

Program itu bertujuan menyokong Angkatan Tentera Lubnan dan Pasukan Keselamatan Dalam Negeri, meningkatkan keselamatan serta kestabilan, memperkukuh kuasa kerajaan dan meningkatkan daya tahan institusi keselamatan, menurut kedutaan berkenaan.

Bantuan itu akan disalurkan menerusi Dana Keselamatan Bersepadu UK, menurut saluran MTV Lubnan.

Kerjasama dengan tentera, Pasukan Keselamatan Dalam Negeri serta kementerian masing-masing akan membantu memperkukuh operasi kepolisan dan meningkatkan penyelarasan antara kedua-dua institusi keselamatan, menurut kenyataan itu lagi.

Program itu juga bertujuan menyokong tindak balas yang “profesional, bertanggungjawab dan berkesan” terhadap cabaran keselamatan dalaman dan luaran semasa serta yang bakal muncul.

Ia turut merangkumi sokongan terhadap usaha untuk “membanteras keganasan dan keganasan jenayah” serta memperkukuh keupayaan institusi keselamatan Lubnan dalam menangani cabaran keselamatan.

Cowell berkata memorandum itu mencerminkan komitmen bersama untuk membina “Lubnan yang lebih selamat, stabil dan berdaya tahan”.

Beliau menegaskan semula sokongan UK terhadap institusi negara Lubnan, khususnya tentera dan Pasukan Keselamatan Dalam Negeri, yang menurutnya “berkhidmat dan melindungi rakyat Lubnan”.

Kerjasama Britain dengan tentera dan Pasukan Keselamatan Dalam Negeri Lubnan bermula sejak 2009, menurut kedutaan itu. –  BERNAMA-ANADOLU

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.