Penemuan mayat wanita dalam beg, polis siasat sebagai kes bunuh

Penemuan mayat wanita petang semalam, disiasat di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh, menurut Ketua Polis Daerah Kuala Kangsar, ACP Heisham Harun/ BERNAMA

KUALA KANGSAR, 15 Ogos – Penemuan mayat seorang wanita di dalam sebuah beg pakaian di Sungai Perak berhampiran Jeti Lembah, Kuala Kangsar, petang semalam, disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh.

RINGKASAN BERITA AI
  • Mangsa dipercayai berusia lingkungan 30-an disahkan meninggal dunia oleh pegawai perubatan KKM.
  • Identiti mangsa masih belum dikenal pasti.
  • Polis menasihatkan orang ramai tidak membuat sebarang spekulasi; hubungi IPD Kuala Kangsar di 05-776 2222 jika mempunyai maklumat.
  • Pasukan JBPM digegaskan, membantu membawa mayat dari tengah sungai ke tebing selepas forensik selesai; pemantauan lokasi diteruskan.

Ketua Polis Daerah Kuala Kangsar, ACP Heisham Harun berkata, mangsa dipercayai berusia dalam lingkungan 30-an disahkan telah meninggal dunia oleh pegawai perubatan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM).

Bagaimanapun setakat ini, identiti mangsa masih belum dikenal pasti.

Mayat mangsa kemudiannya dihantar ke Hospital Taiping untuk tindakan lanjut.

“Maklumat mengenai penemuan mayat tersebut diterima Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kuala Kangsar kira-kira pukul 3.12 petang,” menurutnya dalam satu kenyataan.

Polis menasihatkan orang ramai supaya tidak membuat sebarang spekulasi atau menimbulkan provokasi berkaitan insiden tersebut.

Orang ramai yang mempunyai maklumat diminta menghubungi IPD Kuala Kangsar di talian 05-776 2222 atau mana-mana balai polis berhampiran.

Terdahulu, Penolong Pengarah Bahagian Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Perak Sabarodzi Nor Ahmad memaklumkan, sepasukan anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat Kuala Kangsar digegaskan ke lokasi kejadian, selepas menerima panggilan kecemasan pada pukul 4 petang.

“Setibanya jentera di tempat kejadian, terdapat satu mayat di tengah sungai. Bagaimanapun, pihak bomba perlu menunggu sehingga pasukan forensik polis selesai membuat siasatan.

“Pasukan bomba kemudiannya membantu membawa mayat berkenaan dari tengah sungai ke tebing untuk membolehkan siasatan polis dijalankan,” katanya dalam satu kenyataan.

Sabarodzi berkata sehingga kini, pihaknya masih menjalankan pemantauan di sekitar lokasi kejadian.

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.