
KUALA LUMPUR, 14 Ogos – Pasukan Aerobatik Krisakti giat menjalani latihan menjelang persembahan aerobatik udara “Melukis Senja” bersempena sambutan Hari Kebangsaan 2026 pada 30 Ogos ini.
- Persembahan udara "Melukis Senja" dijangka memukau orang ramai dengan aksi aerobatik berketepatan tinggi dan kesan piroteknik.
- Persediaan kini di peringkat akhir termasuk kelulusan dan penyelarasan operasi bersama agensi berkaitan.
- Persembahan menyampaikan mesej kreativiti, keberanian dan semangat patriotik, menjanjikan pengalaman istimewa buat rakyat.
Pertunjukan itu dijadual berlangsung ketika waktu senja atau golden hour di Putrajaya, dikendalikan juruterbang aerobatik berpengalaman, Datuk Halim Othman.
Pengarah Kanan (Pengurusan) Jabatan Penerangan, Kazidi Mohd Zainuddin berkata, program sisipan itu menggabungkan aksi aerobatik berketepatan tinggi dengan kesan piroteknik bagi menghasilkan visual unik dan menyemarakkan semangat patriotik.
“Pasukan aerobatik akan terbang di udara dan membuat ‘lukisan senja’ yang boleh disaksikan orang ramai.
“Segala butiran telah dimaklumkan menerusi portal 360. Orang ramai boleh menyaksikan fenomena baharu itu pada pukul 7 petang, 30 Ogos ini,” katanya selepas menjadi tetamu Program Selamat Pagi Malaysia di Angkasapuri, di sini.
Tambah beliau, persediaan bagi pertunjukan berkenaan kini di peringkat akhir, termasuk proses kelulusan dan penyelarasan operasi bersama agensi berkaitan.
Ia membabitkan kerjasama dengan Pihak Berkuasa Penerbangan Awam Malaysia (CAAM) dan Ketua Pengarah Keselamatan Kerajaan (CGSO), selain koordinasi bersama Kementerian Komunikasi, Polis Diraja Malaysia (PDRM) serta Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM).
Selain mempamerkan kehebatan aerobatik udara, persembahan itu turut membawa mesej kreativiti, keberanian dan semangat patriotisme, sekali gus menjanjikan pengalaman istimewa buat rakyat Malaysia bersempena sambutan Hari Kebangsaan tahun ini.