
GEORGE TOWN, 13 Ogos – Seorang wanita meninggal dunia dipercayai akibat serangan jantung ketika memandu sebuah kenderaan pelbagai guna (MPV), sebelum kenderaan itu merempuh dua motosikal yang diparkir di tepi Jalan Macalister, di sini hari ini.
- Mangsa, 36, meninggal dunia ketika mendapatkan rawatan di Hospital Pulau Pinang; bedah siasat akan dijalankan untuk kenal pasti punca sebenar.
- Polis sahkan kemalangan hanya melibatkan pemandu MPV; dua motosikal terlibat tiada penunggang dan sedang diparkir di tepi restoran.
- Kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987; polis nasihatkan orang ramai jangan membuat spekulasi.
Ketua Polis Daerah Timur Laut ACP Abdul Rozak Muhammad berkata mangsa, 36, meninggal dunia ketika menerima rawatan di Hospital Pulau Pinang (HPP).
“Kemalangan yang berlaku di hadapan sebuah restoran itu hanya membabitkan mangsa, manakala dua motosikal yang dilihat dalam video tular tidak mempunyai penunggang dan berada dalam keadaan diparkir di tepi restoran.
“Polis mengesahkan kemalangan itu hanya membabitkan pemandu MPV berkenaan manakala dua motosikal yang terlibat dalam kemalangan dan dilihat dalam video tular sebenarnya tidak mempunyai penunggang serta berada dalam keadaan diparkir di tepi restoran.
“Mangsa meninggal dunia ketika mendapatkan rawatan di HPP dan dipercayai mengalami serangan jantung ketika kemalangan. Bedah siasat akan dijalankan dalam masa terdekat bagi mengenal pasti punca sebenar kematian,” katanya dalam kenyataan malam ini.
Abdul Rozak berkata polis menerima laporan berhubung kejadian itu dan kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.
Terdahulu, video berdurasi satu minit 52 saat tular di media sosial memaparkan sebuah kereta merempuh dua motosikal di hadapan sebuah restoran, dipercayai berlaku kira-kira 2 petang tadi.
Beliau turut menasihatkan orang ramai agar tidak membuat sebarang spekulasi berhubung kejadian sementara siasatan dan bedah siasat dijalankan.