Stor kayu beroperasi 15 tahun di Tanah Merah diserbu PGA

Antara 4,178 batang kayu yang dirampas PGA dalam serbuan di Tanah Merah, Kelantan/Foto PGA Briged Tenggara

TANAH MERAH, 13 Mei Sebuah stor kayu yang beroperasi sejak 15 tahun lalu diserbu Pasukan Gerakan Am (PGA) Briged Tenggara kerana dipercayai memiliki dan memproses kayu tanpa cukai sah di Kampung Bukit Kechik, Tanah Merah, pada Khamis.

RINGKASAN BERITA AI
  • Empat lelaki berusia 24 hingga 60 tahun, termasuk pemilik stor, ditahan PGA menerusi Op Taring Wawasan Kelantan.
  • PGA merampas 4,114 batang kayu, empat mesin pemproses dan aset bernilai RM602,100.
  • Stor menggaji tiga pekerja tempatan; kayu siap dihantar ke kilang di Kuantan, Pahang dan Muar, Johor.
  • Semua tangkapan dan rampasan diserahkan kepada Jabatan Perhutanan Negeri Kelantan untuk siasatan di bawah Seksyen 68(1) Akta 313.

Serbuan menerusi Op Taring Wawasan Kelantan pada kira-kira 11.30 pagi itu turut membawa kepada penahanan empat lelaki berusia antara 24 hingga 60 tahun, termasuk pemilik stor.

Komander Briged Tenggara PGA, Senior Asisten Komisioner (SAC) Ahmad Radzi Hussain berkata, serbuan dilakukan selepas pihaknya menerima maklumat mengenai kegiatan memproses kayu tanpa cukai sah.

“Pemeriksaan mendapati stor berkenaan memiliki dan memproses kayu tanpa cukai yang sah. Siasatan awal mendapati pemilik stor mendapatkan bekalan kayu daripada pekebun di sekitar Tanah Merah dan sudah menjalankan urusan pembelian kayu kira-kira 10 tahun,” katanya menerusi kenyataan pada Khamis.

Empat lelaki ditahan PGA dalam serbuan stor kayu di Tanah Merah/Foto PGA Briged Tenggara

Dalam serbuan itu, PGA merampas 4,178 batang kayu pelbagai saiz serta empat mesin memproses kayu bernilai keseluruhan RM602,100.

Rampasan membabitkan dua mesin bandsaw bersama 62 batang kayu bulat yang belum dipotong, dua mesin cross cut, 4,007 batang kayu yang sudah dipotong dan 107 batang kayu bulat pelbagai saiz.

Stor berkenaan menggaji tiga pekerja warga tempatan, manakala kayu yang selesai diproses dihantar ke kilang kayu di Kuantan, Pahang dan Muar, Johor.

Kesemua tangkapan dan rampasan diserahkan kepada Jabatan Perhutanan Negeri Kelantan di Kota Bharu untuk tindakan lanjut.

Kes disiasat mengikut Seksyen 68(1) Akta Perhutanan Negara 1984 (Akta 313).

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.