Pahang perkasa TVET, lahir tenaga kerja berkemahiran tinggi

Foto Arkib

KUANTAN, 13 Ogos – Kerajaan Negeri Pahang terus memberi perhatian terhadap usaha memperkasa pembangunan tenaga kerja berkemahiran bagi memenuhi keperluan pasaran pekerjaan serta perkembangan industri di negeri itu.

RINGKASAN BERITA AI
  • Gagasan Aspirasi Pahang 1st menekankan pengukuhan TVET sebagai pendekatan utama dalam pembangunan bakat dan keperluan industri.
  • POLISAS sebagai rakan strategik negeri memperkukuh ekosistem TVET melalui kerjasama erat antara kerajaan, institusi dan industri.
  • Peruntukan RM5.5 juta dalam Belanjawan Pahang 2026 memperkukuh infrastruktur latihan, Pahang Skills, TVET Talent Development dan Akademi Rel Pahang.

Menerusi gagasan Aspirasi Pahang 1st, usaha berkenaan turut memberi penekanan terhadap pengukuhan Pendidikan dan Latihan Teknikal serta Vokasional (TVET) sebagai antara pendekatan penting dalam pembangunan bakat tempatan.

Menteri Besar Pahang, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail berkata, Politeknik Sultan Haji Ahmad Shah (POLISAS) di Kuantan mempunyai peranan penting sebagai rakan strategik Kerajaan Negeri dalam memperkukuh ekosistem TVET di Pahang.

Katanya, kerjasama antara Kerajaan Negeri, institusi TVET dan pemain industri penting bagi memastikan program latihan serta kemahiran yang ditawarkan sentiasa selari dengan keperluan pasaran pekerjaan semasa.

Hubungan antara institusi TVET dengan industri juga perlu terus diperkukuh supaya kemahiran yang dipelajari pelajar dapat dimanfaatkan apabila mereka melangkah ke alam pekerjaan.

“Kalau dahulu TVET sering dianggap sebagai pilihan kedua, tetapi sekarang persepsi itu sudah berubah. TVET kini semakin menjadi pilihan utama, malah telah membuktikan peranannya yang sangat penting dalam arus pembangunan negara dan negeri.

“Pelbagai pencapaian yang telah diraih membuktikan bahawa TVET bukan sahaja mampu melahirkan tenaga kerja berkemahiran tinggi, malah menjadi antara pemacu penting pembangunan negara,” katanya demikian kepada pemberita selepas Majlis Sambutan Jubli Emas 50 Tahun POLISAS di sini, hari ini.

Dalam pada itu, Kerajaan Negeri memperuntukkan RM5.5 juta menerusi Belanjawan Pahang 2026 bagi memperkukuh pendidikan dan latihan TVET di negeri ini.

Peruntukan tersebut antaranya melibatkan pembangunan infrastruktur dan kemudahan latihan Pahang Skills, pelaksanaan TVET Pahang Talent Development serta pembangunan Akademi Rel Pahang.

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.