12 ditahan menyamar penjawat awam, samun Youtuber warga Taiwan

Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Fadil Marsus / Foto fail BERNAMA

KUALA LUMPUR, 12 Ogos – Polis menahan 12 individu kerana disyaki terlibat dalam kejadian samun berkumpulan dengan menyamar sebagai penjawat awam terhadap seorang lelaki warga asing pada 1 Ogos lepas.

RINGKASAN BERITA AI
  • Suspek berusia 26 hingga 48 tahun ditahan melalui operasi khas di Kuala Lumpur, Selangor dan Negeri Sembilan bermula 2 Ogos.
  • Mangsa ialah seorang YouTuber warga Taiwan dipukul dan disamun di Eko Cheras; kerugian dianggarkan RM35,000.
  • Tujuh suspek dibebaskan dengan jaminan, lima direman; kes disiasat bawah Seksyen 170 dan 395, seorang lagi masih dikesan.

Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Fadil Marsus berkata kesemua suspek yang berusia antara 26 hingga 48 tahun itu, ditahan menerusi operasi khas di sekitar ibu negara, Selangor dan Negeri Sembilan bermula 2 Ogos.

Beliau berkata tangkapan itu dibuat susulan laporan polis oleh seorang lelaki warga Jepun yang memaklumkan majikannya, seorang lelaki warga Taiwan yang bekerja sebagai YouTuber, telah dipukul dan disamun di Eko Cheras Resident, Cheras.

“Mangsa mengalami kecederaan dan kerugian dianggarkan berjumlah RM35,000.

“Motif kejadian kerana suspek mengetahui mangsa mempunyai simpanan tunai dalam mata wang asing yang bernilai tinggi dan ini menjadi pencetus awal kepada niat jenayah,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Datuk Fadil berkata tujuh daripada suspek telah diberikan jaminan polis pada 7 Ogos selepas keterangan mereka diambil, manakala lima lagi masih direman sehingga esok bagi membantu siasatan.

“Kes ini disiasat di bawah Seksyen 170 Kanun Keseksaan atas kesalahan menyamar sebagai penjawat awam dan Seksyen 395 Kanun Keseksaan, kerana melakukan samun berkumpulan.

“Polis kini sedang giat mengesan baki seorang lagi suspek yang masih bebas,” katanya. – BERNAMA

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.