Remaja 14 tahun ditemukan lemas, seorang rakan masih hilang

Luth Naiman (gambar kecil) (gambar kecil) ditemukan lemas di Sungai Kelantan, Kuala Krai / Foto JBPM Kelantan

KUALA KRAI, 12 Ogos – Seorang daripada dua remaja lelaki yang dikhuatiri lemas ketika mandi di Sungai Kampung Batu Lada, Aur Duri, di sini ditemukan pagi ini.

RINGKASAN BERITA AI
  • Mangsa Luth Naiman Mohd Noraziron, 14, ditemukan oleh anggota PPDA kira-kira 9.10 pagi, sekitar 100 meter dari lokasi kejadian.
  • Seorang lagi remaja, Mohd Rayyan Hakimi, 14, masih hilang dan operasi SAR bagi beliau diteruskan.
  • Jenazah ditemui pada kedalaman tiga meter dan akan dibawa ke Hospital Sultan Ismail Petra untuk bedah siasat.
  • Operasi SAR terganggu malam tadi akibat hujan lebat; pencarian permukaan ditangguhkan dan disambung pagi ini.

Mangsa, Luth Naiman Mohd Noraziron, 14 tahun, pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Sultan Yahya Petra 1, ditemukan anggota Pasukan Penyelamat Di Air (PPDA) pada kira-kira 9.10 pagi, kira-kira 100 meter dari lokasi kejadian.

Operasi mencari dan menyelamat (SAR) seorang lagi mangsa, Mohd Rayyan Hakimi, 14 tahun, masih diteruskan.

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Kuala Krai, Penolong Penguasa Bomba Kanan, Nik Ahmad Afsham Nik Pa berkata, mangsa ditemukan pada kedalaman tiga meter.

“Jenazah akan dibawa ke Hospital Sultan Ismail Petra untuk bedah siasat,” katanya di lokasi kejadian.

Dalam kejadian petang semalam, Komander Operasi Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Kuala Krai, Pegawai Bomba Kanan I (PBK I) Muhammad Aiman Aminuddin berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian itu pada 6.39 petang.

Katanya, seramai tujuh anggota termasuk pegawai dikejarkan ke lokasi bagi menjalankan operasi SAR terhadap kedua-dua mangsa.

“Setibanya di lokasi, hujan lebat menyebabkan jarak penglihatan terhad.

Pasukan melakukan pencarian di permukaan sungai, namun operasi terpaksa ditangguhkan berikutan keadaan cuaca yang tidak mengizinkan dan disambung hari ini,” katanya.

Ketika kejadian, kegembiraan lima sekawan mandi di sungai berhampiran Kampung Batu Mengkebang, bertukar tragedi apabila dua daripada mereka dikhuatiri lemas.

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.