Suri rumah didakwa bunuh cucu tiri umur 16 bulan di Kota Tinggi

Suri rumah didakwa atas pertuduhan membunuh cucu tirinya, bayi perempuan berusia 16 bulan / Foto RTM

KOTA TINGGI, 12 Ogos – Seorang suri rumah didakwa di Mahkamah Majistret di sini, atas pertuduhan membunuh cucu tirinya, seorang bayi perempuan berusia 16 bulan, Julai lalu.

RINGKASAN BERITA AI
  • Pertuduhan dibaca di mahkamah mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan; hukuman mati atau penjara sehingga 40 tahun.
  • Bedah siasat mengesahkan trauma daya tumpul di dada dan abdomen serta terdapat kesan lebam pada tubuh mangsa.
  • Mahkamah tidak membenarkan ikat jamin; sebutan semula pada 11 Disember untuk laporan kimia dan bedah siasat.

Tertuduh, Nurul Farhana Laili Shah, 39 tahun, mengangguk faham selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Hafizah Abdul Rajak.

Mengikut pertuduhan, wanita itu didakwa menyebabkan kematian Nur Anggun Dahlia Abdullah di sebuah rumah di Taman Sri Saujana, Kota Tinggi, antara 12.30 tengah hari pada 30 Julai hingga 9.30 pagi 31 Julai.

Pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman mati atau penjara tidak melebihi 40 tahun kerana membunuh.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Norafiqah Musa manakala tertuduh diwakili peguam, Lydiana Mansor.

Mahkamah tidak membenarkan tertuduh diikat jamin dan 11 Disember ditetapkan untuk sebutan semula kes bagi mendapatkan laporan kimia dan bedah siasat.

Semalam, media melaporkan, seorang bayi perempuan berusia setahun empat bulan meninggal dunia dipercayai menjadi mangsa dera dan bunuh nenek tirinya yang menjaganya sejak lahir di Taman Sri Saujana, Kota Tinggi, 31 Julai lalu.

Ibu kepada bayi yang tidak sah taraf berusia 18 tahun meninggalkan kanak-kanak malang itu kepada wanita berkenaan berikutan dia masih menuntut di sebuah kolej vokasional negeri ini.

Ketua Polis Johor, Datuk Ab Rahaman Arsad berkata, laporan diterima daripada nenek tiri berusia 39 tahun pada 31 Julai jam 9.30 pagi yang mendakwa bayi itu tidak sedarkan diri ketika cuba dikejutkan daripada tidur.

Bagaimanapun, hasil bedah siasat mengesahkan mangsa mengalami trauma daya tumpul di bahagian dada dan abdomen berikutan ada kesan lebam pada tubuh mangsa.

Bertindak atas laporan itu, tiga individu ditahan melibatkan ibu mangsa, nenek tiri dan datuk, namun dua daripadanya dibebaskan untuk dijadikan saksi pendakwaan.

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.