
KUALA LUMPUR, 11 Ogos – Lembaga Tabung Haji (TH) merekodkan kerugian hampir RM13 bilion susulan 14 pelaburan bermasalah, termasuk tujuh pelaburan yang mengalami kerugian sepenuhnya.
- Kerugian besar berpunca daripada pelaburan dengan Al-Rawda; kerajaan selamatkan RM10.2 bilion melalui UJSB manakala TH mengalami rosot nilai RM2.6 bilion.
- Perjanjian pajakan 2015-2017 membabitkan bayaran 1.4 bilion riyal kepada perantara untuk empat hotel di Madinah dan Makkah.
- Pihak perantara gagal mengendalikan hotel dan tidak melunaskan sewa sebanyak 2.49 bilion riyal, menyebabkan kerugian besar kepada TH.
- RCI mendapati Jabatan Pengurusan Risiko minta jaminan bank, usaha wajar tidak lengkap; TH iktiraf susut nilai penuh RM1.86 bilion pada 2024.
Menteri Kewangan II, Datuk Seri Amir Hamzah Azizan berkata, antara pelaburan yang mencatat kerugian terbesar ialah dalam syarikat pemaju hartanah dan pengurusan projek berpangkalan di Arab Saudi, Al-Rawda Real Estates Development & Project Management Co. Ltd (Al-Rawda).
“Kerugian berkenaan melibatkan RM10.2 bilion yang ditanggung kerajaan menerusi langkah penyelamatan melalui Urusharta Jamaah Sdn Bhd (UJSB) pada 2018, selain rosot nilai berjumlah RM2.6 bilion yang ditanggung TH bagi pelaburan yang masih diuruskan antara 2018 hingga 2025.
“Pelaburan dalam Al-Rawda dibuat menerusi perjanjian pajakan bagi tempoh 2015 hingga 2017, membabitkan bayaran 1.4 bilion riyal Saudi atau kira-kira RM1.5 bilion kepada pihak perantara bagi mendapatkan pajakan empat hotel di Madinah dan Makkah untuk penempatan jemaah haji,” katanya.
Datuk Seri Amir Hamzah berkata pihak perantara berkenaan sepatutnya mengendalikan keempat-empat hotel tersebut serta membayar sewa berjumlah 2.49 bilion riyal Saudi kepada TH.
Bagaimanapun, bayaran sewa itu gagal dilunaskan, sekali gus menyebabkan TH menanggung kerugian besar.
“Persoalannya, bagaimana kepimpinan Tabung Haji ketika itu begitu berani membuat bayaran pendahuluan melebihi RM1.5 bilion, sedangkan jaminan pelaburan yang disandarkan hanya sekeping nota janji peribadi?
“Rekod laporan Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) menunjukkan Jabatan Pengurusan Risiko Tabung Haji telah meminta jaminan bank, namun Al-Rawda gagal menyediakannya.
“Laporan usaha wajar juga tidak lengkap, tetapi urus niaga tetap diteruskan hanya bersandarkan nota janji tersebut. Lebih RM1.5 bilion wang umat Islam dipertaruhkan tanpa cagaran yang kukuh,” katanya ketika sesi penggulungan perbahasan RCI TH di Dewan Rakyat, hari ini.
Amir Hamzah berkata, keadaan itu akhirnya menyebabkan TH terpaksa mengiktiraf pelaburan berkenaan sebagai susut nilai sepenuhnya, dengan jumlah kerugian mencecah RM1.86 bilion pada 2024.