Buli bukan gurauan, masyarakat perlu bertindak – JSJ Bukit Aman

Foto RTM

KUALA LUMPUR, 11 Ogos – Isu buli dalam kalangan generasi muda bukan lagi perkara yang boleh dianggap sebagai gurauan, sebaliknya ancaman serius yang memerlukan keprihatinan dan tindakan segera seluruh lapisan masyarakat.

RINGKASAN BERITA AI
  • Inisiatif kesedaran termasuk filem pendek "It's Not a Joke" dilaksanakan untuk didik sivik dan keprihatinan dalam kalangan pelajar.
  • Program menyasarkan lebih 100 institusi pendidikan sebagai platform memupuk sikap prihatin dan mengurangkan individualisme.
  • Kritikan terhadap individu merakam kejadian untuk media sosial tanpa membantu mangsa atau melapor kepada pihak berkuasa.
  • Pencegahan buli memerlukan tindakan bertanggungjawab masyarakat, laporan segera kepada PDRM atau JKM, dan kerjasama keluarga serta sekolah.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman, Datuk M. Kumar S. Muthuvelu berkata, peningkatan kes buli yang membimbangkan sejak kebelakangan ini mendorong pelaksanaan pelbagai inisiatif kesedaran, termasuk tayangan filem pendek “It’s Not a Joke”.

Menurutnya, program berkenaan menyasarkan lebih 100 institusi pendidikan sebagai platform untuk memupuk kesedaran sivik, membina sikap prihatin serta mengikis sikap individualistik dalam kalangan masyarakat, khususnya generasi muda.

Datuk M. Kumar turut menegur sikap segelintir individu yang lebih ghairah merakam kejadian buli atau kemalangan untuk dijadikan kandungan media sosial, berbanding tampil membantu mangsa atau menyalurkan maklumat kepada pihak berkuasa.

Katanya, orang ramai seharusnya bertindak secara bertanggungjawab dengan segera melaporkan kejadian kepada pihak berkaitan seperti Polis Diraja Malaysia (PDRM) atau Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM).

“Buli boleh dielakkan jika masyarakat prihatin dan tidak memilih untuk berdiam diri,” katanya pada Majlis Peluncuran Trailer Filem Kesedaran Anti-Buli ‘Is Not A Joke’ di Pusat Latihan Polis (PULAPOL), di sini hari ini.

Datuk M. Kumar berkata, usaha membanteras buli tidak boleh diletakkan di bahu pihak berkuasa semata-mata, sebaliknya memerlukan kerjasama berterusan daripada keluarga, institusi pendidikan dan masyarakat.

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.